Bulan Muharram juga merupakan bulan diciptakan langit dan bumi.
Firman Allah S.W.T:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telah pun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Kedua-dua nas ini menyatakan istimewanya bulan Muharram kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram untuk berperang.
Bulan-bulan ini sangat dihormati. Segala amalan soleh pada bulan-bulan ini membawa ganjaran pahala yang besar. Selain itu, dosa dan maksiat menjadi lebih besar pada bulan-bulan haram.
Kenapa Perlu Puasa Pada Awal Muharram?
Antara amalan soleh yang digalakkan pada bulan Muharram adalah berpuasa sunat.
Ini adalah daripada riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
Maksudnya: Seafdal-afdal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).
Riwayat Abu Daud (2429)
Terdapat juga hadis tentang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah apakah yang diperintahkan untuk dirinya setelah berpuasa pada bulan Ramadan.
Rasulullah SAW menjawab:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Antara kelebihan puasa pada awal Muharram atau pada bulan ini adalah:
- Bulan yang disebut sebagai bulan Allah. Seperti yang kita ketahui jika suatu perkara itu disandarkan kepada Allah, maka ia adalah sesuatu yang mulia. Contohnya: Baitullah, Abdullah, Rasulullah dan lain-lain.
- Bulan yang afdal berpuasa setelah bulan Ramadan.