Ibrah nikmat kemerdekaan

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

 

Peristiwa penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan kisah yang banyak memberikan inspirasi kepada pemimpin dan juga kepada negara seantero dunia. Sesuatu kejayaan dalam penaklukan memerlukan usaha dan semangat yang tidak putus asa demi mencapai kemenangan yang sempurna.

Peristiwa penaklukan ini juga membawa kepada salah satu daripada tanda kiamat yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Apakah kamu pernah mendengar suatu kota yang terletak sebahagiannya di darat dan sebahagiannya di laut? Mereka (para sahabat) menjawab: Pernah wahai Rasulullah. Baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat, sehingga ia diserang oleh 70,000 orang dari Bani Ishaq. Ketika mereka telah sampai di sana, maka mereka pun memasukinya. Mereka tidaklah berperang dengan senjata dan tidak melepaskan satu panah pun. Mereka hanya berkata Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bahagian dari kota itu. Berkata Tsaur (perawi hadits): “Saya tidak tahu kecuali hal ini; hanya dikatakan oleh pasukan yang berada di laut.” Kemudian mereka berkata yang kedua kalinya Laa Ilaha IlIallah Wallahu Akbar, maka jatuh pula sebahagian yang lain (darat). Kemudian mereka berkata lagi Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka terbukalah semua bahagian kota itu. Lalu mereka pun memasukinya. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba datanglah seseorang (syaitan) kemudian berteriak: Sesungguhnya Dajjal telah keluar. Kemudian mereka meninggalkan segala sesuatu dan kembali.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, Kota Konstantinopel ini akan ditakluk oleh kaum Muslimin buat kali kedua selepas penaklukan kali pertama yang telah berlaku pada 1453 masihi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Penaklukan kedua ini pula akan berlaku apabila terjadinya pertambahan umat Islam khsususnya bangsa Rom sebelum keluarnya Al-Masih Al-Dajjal. Al-Hafiz Ibnu Kathir menjelaskan, bangsa Rom akan masuk Islam sehingga penaklukan kota Konstantinopel ini dilakukan oleh sekelompok daripada bangsa Rom sendiri.

Menurut As-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji menerusi penjelasan dalam kitabnya  al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah,  Konstantinopel yang dimaksudkan dalam hadis tersebut  merupakan Konstantinopel yang besar yang bersambung dengan Rom (Itali) dan Andalus (Spain). Kedua-dua pusat penumpuan dunia ini merupakan antara tempat yang mempunyai kapasiti penganut agama Kristian yang besar.

Kota Konstantinopel iaitu Istanbul, Turki pada hari ini telah dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453 buat kali pertama selepas beberapa percubaan yang dilakukan oleh pemimpin Islam terdahulu. Usaha mereka bertitik tolak daripada sabda Nabi Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Kostantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.”  (Hadis Riwayat Ahmad)

Permulaan pembukaan kota Konstantinopel dimulai oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA Khalifah ar-Rasyidin ke-4 pada tahun ke-34 Hijrah sehingga ramai yang terkorban. Disebabkan itu, Saidina Ali terpaksa melupakan hasrat tersebut ditambah pula dengan pepecahan yang mula berlaku di kalangan umat Islam.

Pada tahun ke-84 Hijrah, Muawiyah RA pula cuba untuk menaklukinya, namun tidak berjaya. Usaha tersebut diteruskan pula oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 Hijrah namun turut gagal menembusi kota tersebut.

Khalifah Harun ar-Rasyid mencuba pada tahun ke-165 Hijrah sehingga kepada percubaan terakhir oleh Sultan Murad pada tahun ke-825 Hijrah. Kesemuanya menemui jalan kegagalan.

Selepas lebih 800 tahun hadis berkenaan pembukaan kota ini meniti di bibir para pemimpin Islam, akhirnya kota Konstantinopel yang kebal dapat ditakluk oleh pemimpin muda yang berjiwa besar. Menjadi pemimpin sebaik-baik pemimpin dan mengemudi tentera yang menjadi sebaik-baik pasukan dalam penaklukan tersebut.

Malaysia dan kemerdekaan yang ke-65

Tahun ini negara kita Malaysia yang tercinta akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan yang ke-65. Selepas dua tahun rakyat berada dalam ketakutan disebabkan Covid-19, kini kita semakin kembali kepada kehidupan normal dalam erti kemerdekaan yang sebenar. Namun perlu diingat, di sebalik kebebasan ini, kita perlu sentiasa mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa besar dalam menjaga maruah negara dari segala ancaman luar termasuk ideologi yang boleh menghuru-harakan keharmonian negara.

Apabila dilihat kepada kejayaan penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh, kesepaduan semua lapisan masyarakat perlu kepada usaha berlipat kali ganda bagi mencapai kejayaan dan mengekalkannya. Namun, jika dilihat kepada penaklukan kedua yang akan berlaku kelak, prosesnya nampak lebih mudah dengan hanya kalimah sahaja. Tetapi, hakikatnya usaha untuk menyatukan akidah dan persefahaman dalam agama bukannya mudah. Kekuatan fizikal sahaja tidak dapat membantu kejayaan sesebuah negara tanpa meletakkan agama di hadapan. Realiti yang berlaku hari ini, pada ilmuan masih lagi bertelagah dengan isu-isu yang tidak berkesudahan. Masing-masingnya ingin menegakkan ‘benang yang basah’. Ilmuan yang benar, akan terus memperkukuhkan kebenaran yang ada, manakala yang ilmuan yang ingin membenarkan sesuatu yang tidak dipastikan benar, juga akan terus menekan dan menyebarkannya. Jadi, sampai bila situasi akan berterusan.

Negara kita telah 65 tahun mengecapi kemerdekaan. Pembebasan negara daripada penjajahan yang cukup lama memberikan isyarat tentang erti kemanisan dan keamanan yang diinginkan oleh semua masyarakat dunia. Dengan kesedaran walaupun hanya melalui filem Mat Kilau sahaja, generasi kini mula membuka mata bahawa sukar, perit, jerih nenek moyang terdahulu mempertahankan negara.

Keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum perlu dititipkan oleh semua pihak. Islam adalah agama keamanan dan dipandang mulia melalui adab dan tatasusila yang tinggi. Maka perlu bagi semua rakyat khususnya umat Islam memahami perinsip penciptaan manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Surah al-Hujurat ayat 13)

Justeru itu, kemerdekaan yang dikecapi ini janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya negara kepada situasi peperangan dan kekacauan. Jadikan bendera Malaysia sebagai kebanggaan semua masyarakat dan kibarkan dengan penuh megah dan rasa bertangungjwab.

Melayu Islam itulah kami,

Agama Islam dijulang tinggi,

Bangsa Melayu disanjung budi,

Kerana Akhlak mencermin diri.

Kemerdekaan 65 disambut gembira,

Tanda syukur bebas segalanya,

Jangan dilupa jasa nenek moyang kita,

Semoga negara kekal amannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *