Izham Hakim Redzan
Agama Islam adalah agama yang berasaskan nasihat. Ini kerana dengan wujudnya nasihat maka akan terdirilah agama ini. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Nabi SAW: “Agama itu nasihat. Kami pun bertanya: Untuk siapa (nasihat itu)? Baginda menjawab: Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam-imam kaum Muslimin dan seluruh Muslimin (rakyatnya).” (HR Muslim)
Adapun gaya bahasa yang digunakan oleh Nabi SAW seperti di dalam hadis ini telah menunjukkan hakikat agama itu adalah nasihat. Oleh yang demikan, jika hilangnya nasihat maka hilanglah agama. Gaya bahasa ini juga adalah seperti sabda baginda Nabi SAW: “Haji itu adalah Arafah (wukuf di padang).” (HR Tirmizi)
Berdasarkan hadis disebutkan, jika sesorang ke Tanah Haram untuk haji terlepas berwukuf di Arafah, maka dia perlu mengerjakan haji pada musim akan datang. Ini kerana tidak sah haji kecuali dengan rukunnya iaitu wukuf di Arafah. Oleh yang demikian, jika hilangnya suatu asas, maka suatu perkara tersebut tidak sah sepertimana hilangnya nasihat dalam agama dan wukuf di Arafah. Oleh yang demikian, jika tidak wujud dua unsur disebutkan, maka tidak diiktibarlah haji dan agama tersebut.
Adapun nasihat untuk Allah SWT adalah dengan membetulkan akidah dengan mentauhidkan-Nya, menyifatkan-Nya dengan sifat ketuhanan dan menyepikan-Nya daripada semua sifat kekurangan, bersungguh dengan apa yang Dia arahkan, menjauhkan daripada apa yang Dia murkai dan ikhlas dalam ibadat.
Adapun nasihat untuk kitab-Nya adalah dengan beriman denganya, beramal dengan perkara yang disebutkan di dalamnya, berakhlak dengan akhlak al-Quran, memperelok bacaan al-Quran serta menghadirkan khusyuk dalam tilawahnya, meninggikan al-Quran dan menghormatinya, memahami makna al-Quran dan bertadabur ayat-ayatnya, bertafaquh (mempelajari) ilmu-ilmu al-Quran, mengajak kepada al-Quran dan menjaga al-Quran daripada takwilan yang ghulu (berlebih-lebihan), tafsiran yang mengubah makna al-Quran dan menolak segala tohmahan terhadapnya.
Adapun nasihat untuk Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW) adalah dengan membenarkan kenabian baginda, mentaati apa yang baginda arahkan dan meninggalkan apa yang baginda larang, mempertahankan baginda dan syariatnya sama ada baginda hidup ataupun wafat, memusuhi sesiapa yang memusuhi baginda, memerangi sesiapa yang memerangi baginda, menggadaikan jiwa dan harta untuk menyokong baginda Nabi SAW ketika baginda hidup, menghidupkan sunah baginda selepas kewafatan baginda dengan mengkaji sunahnya, mempelajari dan mempertahankannya, menyebarnya, berdakwah untuk mengikutinya, berakhlak dengan akhlak baginda, beradab dengan adab mulia baginda, menyanjungi baginda, mencintai ahli keluarga baginda dan menghindari bidaah yang diada-adakan dalam sunahnya. Begitu juga yang dimaksudkan dengan menasihati Nabi SAW adalah dengan menjaga sunah baginda dengan berkhidmat akan sunahnya dari segi riwayah dan dirayah, mengumpulkan sunahnya, berusaha dalam mencari hukum sunahnya dari segi sahih dan daif daripada sunah baginda.
Adapun nasihat untuk pemimpin orang Islam adalah dengan mentaati mereka pada perkara yang benar, membantu mereka untuk menegakkan kebenaran, menasihati mereka akan perkara kebenaran dengan cara paling terbaik, mengingati mereka dengan apa yang mereka lupa daripada perkara yang berlaku pada rakyat mereka, mengelak daripada untuk keluar menjatuhkan mereka, berusaha untuk mengumpulkan hati-hati rakyat untuk mentaati mereka.
Adapun nasihat untuk kaum Muslimin adalah dengan menasihati mereka kepada perkara yang membawa kebaikan, membantu mereka pada agama dan keduniaan mereka dengan perkataan dan perbuatan, mengingatkan orang yang lalai daripada mereka, mengajar orang jahil daripada kalangan mereka, membantu orang yang memerlukan, menutup keaiban mereka, menghidarkan kerosakan dan mencari kebaikan dalam agama mereka dan dunia mereka.
Disebabkan besarnya nilai nasihat ini dalam agama Islam Nabi SAW menjadikan nasihat itu adalah salah satu hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain. Sabda Nabi SAW: “Hak seorang Muslim terhadap sesama Muslim itu ada enam. Pertama jika bertemunya, maka ucap salam padanya. Kedua jika dia menjemputmu, maka penuhi jemputannya. Ketiga jika dia meminta nasihat daripadamu, maka berilah nasihat. Keempat jika dia bersin lalu mengucapkan ‘yarhamukallah’ (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu). Kelima jika dia sakit, maka ziarahilah dia. Keenam jika dia meninggal, maka iringilah jenazahnya.” (HR Muslim)
Berdasarkan prinsip nasihat yang penting ini dalam agama Islam yang telah disebutkan, maka diletakkan beberapa syarat yang perlu diteliti sebelum kita menyampaikan nasihat. Hal ini kerana dewasa ini banyak daripada golongan masyarakat Islam ingin menasihati akan tetapi timbul persoalan adakah nasihat itu betul-betul nasihat yang dimaksudkan oleh agama? Khususnya apa yang kita dapat lihat pada laman sosial seolah-seolah seseorang ingin menasihati akan tetapi pada hakikatnya membuka aib saudaranya. Antara syarat yang perlu diraikan adalah:
Pertama: Perlulah bagi seorang Muslim jika ingin menasihati saudaranya, hendaklah tujuannya kerana Allah SWT dan bukan kerana sesuatu kemaslahatan yang diinginkan di sebalik nasihat tersebut. Jika nasihat itu kerana Allah SWT maka nasihat tersebut akan diterima dengan baik dan masuk ke dalam hati. Jika tujuanya kerana Allah SWT maka nasihat akan berpanjangan bukan terbatas ketika tujuannya sudah digapai dan kehendaknya sudah ditunaikan. Begitu juga, jika sesuatu nasihat itu diinginkan padanya sesuatu kemaslahatan, maka nasihat tersebut tidak akan didengari, bahkan tidak akan memberi kesan orang yang mendengar nasihat tersebut.
Kedua: Perlu juga nasihat itu berlaku bukan di khalayak ramai supaya tidak membuka aib dan keburukan orang yang dinasihati tersebut kerana kebanyakan manusia tidak suka aibnya diperhatikan dan dipertuturkan di hadapan orang ramai. Hal ini, terdapat perbezaan nasihat untuk kebaikan dan nasihat untuk membuka aib orang lain yang dikenali sebagai al-faḍīḥah. Nabi SAW menuntut umatnya menuntup aib orang Muslim, baginda Nabi SAW telah besabda: “Barang siapa yang menutup aib sahabat Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Ibnu Mājah)
Ketiga: Nasihat perlulah diberikan dalam keadaan baik dan tidak mengangkat suara dan keadaan marah.
Keempat: Nasihat juga perlu diberikan di atas dasar ilmu, bukan dengan dasar kejahilan supaya nasihat tersebut tidak memberi kesan kepada orang memberi nasihat tersebut suatu sikap berbangga diri. Selain itu, terdapat juga sikap sebahagian manusia yang menzahirkan nasihat akan tetapi niatnya melunaskan rasa puas hati yang muncul setelah melihat atau mendengar perkhabaran seseorang yang dinasihati sedang mengalami kesulitan, kegagalan atau kehinaan. Sikap ini dikenali as-shamātah dan perkara ini suatu perbuatan yang terkutuk seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Janganlah kalian mezahirkan rasa as-shamātah terhadap saudara kalian. (Pada suatu hari) Allah SWT akan merahmatinya dan meguji kalian (dengan apa yang telah dia diiuji.” (HR Tirmizi)
Kelima: Nasihat juga perlu diberikan dalam keadaan berhikmah supaya nasihat tersebut memberi kesan kepada orang yang dinasihati. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Naḥl, ayat: 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
Selalunya kita memahami nasihat dengan pertuturan, kadang-kadang perbuatan dan contoh teladan yang baik juga membawa kepada nasihat. Bahkan mendiamkan diri tanpa bercakap pada sesuatu keadaan juga adalah nasihat. Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat hendaklah dia berkata-berkata baik atau hendaklah dia diam.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Pada zaman sekarang dengan wujudnya media sosial dan setiap seorang daripada kita dengan mudahnya boleh menelusuri media sosial ini untuk menulis dan melontarkan apa sahaja. Oleh yang demikian, perlu kita menjadi pengguna yang baik dan bijak. Dalam isu memberi nasihat dalam media sosial haruslah kita saling menasihati pada perkara yang perlu sahaja dan tidak berlebih-lebihan. Hal ini kerana, dengan berlebih-lebihan boleh menyebabkan nasihat tidak akan berjaya, menyebabkan porak-peranda dan mengelirukan masyarakat awam khususnya perkara berunsurkan agama dan urus tadbirnya.