Jangan jadi punca runtuhnya ukhuwah

Mohd Rizal Azman Rifin

 

Kita sedang berada pada zaman teknologi serba canggih dan keadaan juga sudah berubah. Kalau sebelum ini manusia banyak gunakan lidah untuk menyatakan hasrat, tetapi sekarang banyak menggunakan jari dalam menyampaikan kehendak.

Kini, jari-jemari menjadi pengganti lidah untuk menzahirkan kehendak, perasaan, ketidakpuasan, kemarahan, malah 1,001 perkara yang menimbulkan kekeruhan sosial. Sama halnya seperti lidah, apabila jari sudah tidak takutkan Allah, tidak berbekas di hati akan kebesaran Allah, lahirlah kerosakan di atas muka bumi ini.

Imam Al-Ghazali pernah menuturkan pesannya: “Lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.”

Selanjutnya beliau berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Jadi, berdasarkan kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga kita boleh dihumban ke neraka.

Pada zaman Rasulullah SAW dahulu, sahabat begitu mengambil berat perkara yang melibatkan lidah. Kebimbangan mereka terhadap salah guna lidah begitu tinggi lantaran telinga mereka sentiasa terngiang-ngiang dengan pesanan Rasulullah SAW tentang bahaya tergelincir lidah.

Sikap ‘kami dengar, kami taat’ sentiasa diamalkan dalam kehidupan maka tidaklah menghairankan bagaimana utuhnya keharmonian masyarakat Islam waktu itu.

Rasulullah SAW berpesan: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah berkata baik atau diam, barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetangganya, barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Baginda Nabi SAW juga memberitahu Mukmin yang memelihara lidahnya dengan baik pasti menjadi insan yang selamat. Tentu kita memahami selamat maksud Rasulullah SAW itu meliputi selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sabda Nabi SAW: “Keselamatan manusia tergantung pada kemampuannya menjaga lisan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Kini, kita sudah pun dapat menyaksikan bagaimana mudahnya tercetus sesuatu perselisihan, pergaduhan sesama Muslim yang timbul akibat ‘curangnya’ lidah. Lidah mudah sangat menuturkan apa sahaja yang terlintas di fikiran, manakala akal pula tidak terlintas untuk memikirkan kesan akibatnya.

Lalu jadilah masyarakat ‘mudah tutur’ apa sahaja.

Saidina Uthman bin Affan mengingatkan kita dengan pesanannya: “Tergelincir lidah itu lebih berbahaya daripada tergelincir kaki.” Tergelincir kaki, sakit akibat daripadanya semasa kita hidup sahaja dan masih mampu dipulih dengan perawatan. Namun, tergelincir lidah satu negeri atau negara boleh musnah dalam permusuhan dan pergaduhan. Itu di dunia, apatah lagi di akhirat kelak, mereka yang gagal mengawal lidahnya tentu sekali diancam dengan seksa Allah yang amat pedih.

Suasana keharmonian dalam sesebuah masyarakat tidak mungkin wujud dan kekal lama sekiranya anggota masyarakat saling melontar tutur kata yang mengguris hati pihak lain. Mana mungkin sesuatu gerak kerja membangunkan masyarakat dan negara dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya situasi dalam masyarakat itu kucar-kacir. Sesungguhnya organ tubuh paling liar dan sukar untuk dikawal tidak lain adalah lidah. Dalam berhati-hati, ada juga sesekali kita terlepas cakap tanpa sedar. Sebab itulah, kita wajib berwaspada dan sedaya upaya mengikat kukuh lidah supaya tidak terlepas kata-kata yang boleh menggugat iman sekali gus mengeruhkan keadaan. Allah memperingatkan bahawa terdapat malaikat yang mencatat setiap ucapan manusia, baik mahupun buruk. Ini dapat kita fahami menerusi firman-Nya dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan berhampirannya ada malaikat pengawas yang selalu hadir.”

Sebenarnya, perasaan sentiasa diawasi oleh malaikat seakan-akan tidak lagi berada di dalam fikiran, malah rasa takut untuk berhadapan dengan penyaksian di alam akhirat juga semakin meluput. Sedangkan Allah sudah memberikan amaran-Nya sebagaimana terakam dalam Surah Fushshilat ayat 22 yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi daripada kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu.”

Begitu juga baginda SAW dalam kehidupan hayatnya yang mulia tidak pernah sunyi dalam usaha memperingatkan umatnya agar bertindak bijak dalam bertutur kata supaya tidak terjerumus dalam kancah dosa. Hal ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang merekodkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan kalimat tanpa difikirkan terlebih dahulu dan kerananya dia terjatuh ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat.”

Malah, Rasulullah SAW pernah suatu hari ditanya tentang mereka yang dimasukkan ke syurga. Lalu dijawab baginda mereka itu terdiri daripada orang bertakwa dan baik akhlaknya, manakala yang bakal menerima balasan azab Allah di akhirat ialah mereka yang tidak memelihara dua bahagian daripada anggota tubuhnya iaitu mulut dan kemaluan.

Abu Hurairah memberitahu bahawa Rasulullahi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda SAW menjawab: “Takwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka?’ Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.”‘ (Hadis Riwayat at-Tirmizi – hadis sahih)

Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi turut memperkatakan tentang keburukan tutur kata dan mereka sedia memahami bahawa kelancangan serta kelencungan dalam berkomunikasi boleh memudaratkan diri sendiri dan memecahkan keharmonian hidup bersama.

Lantas terciptalah ungkapan, ‘kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa.’

Oleh itu, baik lidah yang menjadi organ badan kita mahupun jari-jemari yang kini mula rancak ambil alih peranan lidah itu sewajarnya sentiasa bersuluhkan panduan iman. Usah sampai lidah menjadi peruntuh ukhuwah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *