Mohd Rizal Azman Rifin
Imam Al-Hafiz Abu Abdillah al-Hasain bin Hasan al-Halimi ada mengingatkan kita dengan satu pesanannya: “Meyakini akhirat akan melahirkan rasa takut kepada Allah, mengurangkan rasa cinta kepada dunia, menganggap ringan segala kesedihan dan kesusahan duniawi, sabar dalam menghadapi musibah dan menahan nafsu kerana yakin dan percaya dengan pahala dan balasan yang telah Allah sediakan.”
Sesungguhnya rasa keyakinan pada hari akhirat sebagai hari pembalasan atas segala amal perbuatan di dunia akan menumbuhkan kejituan peribadi yang bercirikan insan yang soleh dan berakhlak mulia. Banyak paparan gejala sosial yang sedang gawat melanda sesetengah kalangan generasi muda adalah disebabkan rasa yakin akan alam akhirat tidak tertanam kukuh dalam hati mereka.
Mana mungkin seseorang anak muda yang masih ‘hijau’ dalam kehidupan dunia sanggup menggadaikan masa depannya di akhirat dengan perbuatan tercela kerana mereka memahami betapa dahsyatnya azab Allah atas perbuatan keji dan mereka sudah pasti akan memperkasakan usaha dan memaksimumkan masa muda demi mengaut seberapa banyak amalan berpahala sebagai bekalan menuju alam akhirat.
Misalan yang lain, seseorang itu sudah tentu menghidupkan amalan berjiran yang baik. Hal ini kerana Islam meletakkan jiran tetangga sebagai suatu ranking yang wajib dipelihara rasa hormat dan hidup dalam kerukunan yang harmonis. Sikap ambil cakna dan prihatin dengan masalah jiran sentiasa dihidupkan. Ini adalah sunah Rasulullah SAW dan bagi kita wajib mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh Baginda. Ini juga amalan berpahala yang pastinya satu bekalan buat kita di akhirat kelak.
Ambillah iktibar kes pembunuhan adik Dirang atau nama penuhnya Nurul Nadirah binti Abdullah berusia 5 tahun yang dibunuh dengan kejam pada beberapa tahun yang lalu dan begitu juga dengan perbicaraan kes arwah itu yang berkesudahan dengan hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan itu. Sikap menyayangi insan lain meskipun bukan anak sendiri dan sentiasa peka dengan gejala sosial di persekitaran seharusnya ada pada diri setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Jangan hanya kita mementingkan urusan keluarga kita semata-mata sedangkan hal ehwal kemasyarakatan sekitar kita abaikan begitu sahaja.
Insan yang sentiasa ingatkan hari pembalasan di akhirat kelak akan merealisasikan gaya kehidupan yang sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia. Ini kerana Rasulullah SAW sudah pun memberitahu kita bahawa amalan yang akan memberatkan timbangan amal nanti adalah akhlak yang baik.
Andainya dia sedang berpuasa di bulan Ramadan mahupun puasa sunat yang lain, insan yang ada rasa takutkan Hari Akhirat akan menjadikan amalan puasanya bertaraf first class yang menepati ciri-ciri berpuasa yang sebenar. Dia bukan hanya berpuasa zahir dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memperagakan sikap dan akhlak diri yang unggul. Tutur katanya adalah tutur kata insan yang sedang berpuasa. Pandangan matanya adalah pandangan mata insan yang sedang berpuasa.
Demikianlah juga dengan segenap pancainderanya dihalatuju dengan akhlak terbaik kerana ia tahu hanya cara inilah sahaja amalan berpuasanya diterima Allah di akhirat nanti. Lagipun Baginda SAW sudah memperingatkan kita akan adanya kalangan kita yang tidak mendapat apa-apa daripada amalan puasanya selain lapar dan dahaga semata-mata lantaran berpuasa secara zahir sahaja tanpa disusuli dengan puasa batinnya sekali.
Wujudnya rasa takut pada hari akhirat pastinya membuat si ayah dan ibu tidak lena tidur memikirkan apakah tanggungjawab mendidik anak-anak sudah dipenuhi dengan sempurna? Mana mungkin si ayah dan si ibu sanggup membiarkan anak-anak tergolong dalam kategori manusia yang ‘disumpah’ oleh masyarakat lantaran kecurangan dan kebiadapan akhlaknya. Sebaliknya, yang timbul hanya usaha sekuat terdaya mendidik anak-anak mereka agar dapat hidup sejajar dengan landasan beragama yang betul dan benar.
Si ayah dan si ibu yang sentiasa takutkan hari akhirat pasti tidak pernah lupa membaca dan merenung pesanan Allah ini: “Wahai manusia yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Maksud Surah At-Tahrim ayat 6). Ayat Allah ini menjadikan pedoman untuk menguatkan semangat dan berusaha gigih dalam mengatur urusan rumahtangga khususnya dalam hal ehwal pendidikan kepada anak-anak mengikut jalur agama.
Dengan adanya keyakinan kuat terhadap hari akhirat, kita tidak mudah menyalahkan takdir tatkala ditimpa musibah. Segala ujian Allah akan diterima dengan hati penuh reda. Skrip kehidupan insan yang takutkan hari akhirat akan dipenuhi dengan plot dan babak-babak yang luhur dengan mematuhi segala tunjuk ajar yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Meskipun fizikal dan jiwa sedang menderita menanggung azab dunia yang berupa penyakit, semua itu tidak membuatkannya lalai daripada menyempurnakan ibadah wajib dan sunat terhadap Allah. Insan yang begini tidak pernah membezakan waktu dia sihat mahupun waktu dalam kesakitan.
Lihatlah bagaimana Saidina Umar al-Khattab selepas sahaja ditikam, beliau tidak rela mengabaikan solat, malahan mengarahkan semua jemaah meneruskan solat. Renungkan pula bagaimana hebatnya hati yang takut kepada hari akhirat yang ditunjukkan oleh Baginda SAW. Sehingga dalam masa Baginda sedang sakit dan terpaksa dipapah, masih meneruskan jejak kakinya ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.
Jadi, sahlah bahawa dengan adanya keyakinan tinggi terhadap hari akhirat akan mencetuskan pembinaan kehidupan beragama yang sempurna dan sekali gus seseorang itu akan memperagakan akhlak terbaik sejajar dengan suruhan agama. Namun, apabila rasa takutkan hari akhirat menipis di hati, akan timbullah aneka gejala akhlak dan tayangan hidup yang keji. Percaya dengan yakin akan hari akhirat seolah-olah ‘kompas kehidupan’ buat kita dalam menyusuri dunia yang fana ini. Tanpa kompas kehidupan ini, sudah tentunya manusia akan terbabas dan melencung dari ‘road map’ kehidupan yang sempurna.
Pesan Syeikh Dr Mustafa Said al-Khan: “Seseorang yang beriman dengan hari akhir akan selalu merasakan pengawasan Allah semasa bersendirian dan keramaian dan selalu menghisab (memeriksa) dirinya dan bertakwa kepada Allah dalam seluruh keadaan dan perbuatannya.” Ini satu pesanan yang perlu kita renungi demi mencapai reda Allah.