Datuk Haji Mohd Ajib Ismail
Antara ciri-ciri sebuah masyarakat bertamadun adalah yang dinamik iaitu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan bagi mencapai sesuatu matlamat ditetapkan. Seorang ilmuwan Islam terkemuka, Muhammad Al-Ghazali menegaskan bahawa tujuan manusia menjalani kehidupan bermasyarakat bukan hanya bagi memenuhi keperluan fizikal dan kebendaan semata-mata, tetapi untuk mempersiapkan diri demi mencapai keselamatan serta kesejahteraan di akhirat melalui pengamalan dan penghayatan ajaran Islam sebenar.
Justeru perkembangan sesebuah masyarakat dinilai terhadap sejauh mana usaha dan kesungguhan untuk mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.
Agenda untuk membangunkan masyarakat khususnya dalam aspek menyampaikan kesedaran dan penghayatan ajaran Islam dapat dilaksanakan melalui watak penting yang berada dalam komuniti seperti pemimpin setempat, imam, pengerusi dan jawatankuasa masjid dan surau serta guru yang melaksanakan tugasan dengan penuh dedikasi. Golongan itu berupaya memainkan peranan masing-masing atas dorongan sifat bertanggungjawab dan semangat kesetiaan untuk menabur budi kepada pertiwi.
Sesebuah komuniti dapat dibangunkan melalui perpaduan yang utuh berasaskan semangat bekerjasama dan budaya tolong-menolong. Tradisi seperti bertegur sapa, saling menziarahi dan bertanya khabar perlu menjadi suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat supaya segala gerak kerja dapat dijayakan dengan mudah melalui suasana muhibah dan kesepakatan.
Amalan bantu-membantu, menghormati jiran tetangga, bersifat terbuka dan mudah diajak berbincang pula mesti disemai selari dengan pepatah Melayu, ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’. Budaya saling bermuafakat ke arah kehidupan yang berkat adalah selaras dengan tuntutan ajaran Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Sesebuah masyarakat yang bertamadun bersedia meraikan perbezaan anutan agama dan kepercayaan sekali gus dapat menggalakkan keharmonian hidup bersama. Menjalinkan perhubungan yang baik dengan golongan bukan Islam adalah selaras dengan ajaran Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Keupayaan, daya usaha dan kebijaksanaan pemimpin serta kesediaan rakyat untuk memberikan sokongan dan kerjasama terhadap segala inisiatif diperkenalkan membantu mempercepatkan usaha pembangunan. Pemimpin mesti menunjukkan teladan yang baik manakala sifat ketegasan amat perlu dalam menetapkan sesuatu keputusan terutama melibatkan kemaslahatan rakyat. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.” (Riwayat Muslim)
Amalan menyampaikan teguran atau peringatan dalam komuniti pula boleh dilaksanakan pada waktu yang bersesuaian dalam suasana kekeluargaan. Warga komuniti mesti didekati dengan cara mengambil hati dan pergaulan yang baik, sebaliknya menjauhi sifat keras atau kasar dalam memberikan teguran. Sebarang isu dan permasalahan yang timbul boleh diselesaikan melalui kaedah perbincangan bagi mencapai persetujuan bersama. Firman Allah SWT dalam Surah ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Segala usaha bersama yang dilaksanakan bagi membangunkan komuniti mestilah selari dengan matlamat utama kehidupan bermasyarakat dalam Islam iaitu menegakkan syariat bagi mencapai keredaan Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Taha ayat 47 yang bermaksud: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa mereka atau anak mereka atau saudara mereka ataupun keluarga mereka…”