Mohd Rizal Azman Rifin
Islam sejak awal penurunan wahyu mengajak manusia kepada pembangunan intelek yang dengan adanya keupayaan daya inteleklah umat manusia mampu menerjah kepesatan hidup.
Sememangnya, kita tidak boleh lari daripada mengikuti arus perubahan zaman. Kita tidak mampu menjadi manusia yang sekadar statik tanpa mempedulikan yang sedang berlaku pada masa ini. Jika dunia sedang rancak dengan perkembangan sains dan teknologi, mahu tidak mahu, kita juga sewajarnya turut sama mengambil bahagian aktif sebagai umat Islam yang tidak menolak kemajuan dunia selagi tidak bertentangan dengan prinsip agama.
Baca dan telitilah dengan mendalam akan maksud wahyu sulung yang Allah turunkan kepada kesayangan rasul kita, Nabi Muhammad SAW yang dimulakan dengan perintah membaca. Wahyu itu adalah tanda aras yang sewajarnya difahami oleh kita semua.
Bertitik tolak daripada pemahaman yang jelas berkenaan maksud wahyu itulah umat manusia di Tanah Arab yang sebelum Islam berada dalam kegelapan dan penuh kejahilan bertukar arah kepada kemenjadian insan celik minda sekali gus menobatkan mereka sebagai umat terbilang dalam segenap segi kehidupan.
Pada waktu itu, di mana sahaja sinar Islam berada, masyarakatnya tidak lagi berada dalam kegelapan, sebaliknya usaha memupuk dan menghidupkan gaya hidup berbudaya keintelektualan tinggi dilaksanakan dengan jayanya. Umat Islam silam berjaya bukan kerana mereka ‘terikut-ikut’ dengan kemajuan umat yang lain. Hal ini kerana umat lain waktu itu ‘sedang tidur lena’ dibuai kejahilan, sedangkan mereka (umat Islam) sedang ‘diserang’ fenomena dahagakan ilmu dan kemajuan.
Pada waktu itu, masyarakat melihat agama Islam yang mereka pegangi sebagai pendorong dan penaik motivasi ke arah mencapai kemajuan hidup serta bukan hanya di sekitar hal ehwal ukhrawi semata-mata. Rata-rata umat Islam masa itu sentiasa ‘mengejar dunia, tetapi tetap cintakan akhirat’. Kemajuan duniawi yang menjadi impian, tidaklah pernah membuatkan mereka abaikan urusan akhirat. Malahan, dek mahukan bekalan akhiratlah yang melonjakkan semangat mereka untuk meninggalkan bekas bermanfaat buat generasi seterusnya.
Dengan erti kata lain, mereka mahu tinggalkan dunia ini dengan nama yang harum semerbak apabila segala hasil penat lelah mereka lakukan semasa hidup akan dikecapi impaknya oleh umat manusia sepeninggalan mereka.
Mereka berlumba dengan detik masa demi merintis sesuatu hasil kemajuan dunia agar umat manusia kemudian hari akan dapat merasai nikmat daripada hasil cipta yang mereka usahakan.
Pelbagai bidang ilmu digali dan rintiskan buat kita dan nama mereka itu sentiasa mewangi dalam lipatan sejarah kegemilangan umat Islam yang hingga kini kita masih mengguna pakai hasil penemuan mereka terokai dulu.
Justeru, dalam konteks negara kita Malaysia yang tercinta ini, usaha penggemblengan ke arah kemenjadian insan generasi pewaris negara semestinya dipaksikan secara kukuh menerusi pendidikan agama Islam dan bagi yang bukan Muslim menerusi pendidikan moral. Tanpa asuhan dan pendidikan agama dan moral, apa sahaja kemajuan yang dicapai hanyalah sekadar bersifat ‘kosmetik’ semata-mata kerana modal insan yang dilahirkan itu akan kosong jiwa serta gersang iman.
Dunia dijunjung tinggi, agama dikelek rapi. Begitulah yang boleh kita umpamakan senario umat Islam terdahulu. Sedangkan kita umat Islam akhir zaman ini sebaliknya pula. Ada sesetengahnya mahu kelek penuh rapi urusan akhirat, lalu hal ehwal keduniaan seolah-olah mahu diketepi sahaja dengan tanggapan akan merosakkan ekosistem pemusatan fokus terhadap urusan akhirat.
Ada pula yang menjunjung tinggi dunia sehingga tercicir pula urusan ukhrawi.
Generasi umat Islam kini perlu menjadikan semangat yang ada pada ilmuwan Islam terdahulu sebagai contoh ikutan. Ikut dan mencontohi mereka bukan setakat mahu mencapai kemajuan pencapaian aspek dunia semata-mata, tetapi juga melihat ilmuwan terdahulu yang bijak dalam menyeimbangkan antara dunia serta akhirat.
Ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina dan Al-Khawarizmi bukan setakat mengejar kemajuan sains dan teknologi kerana sebelum itu lagi mereka begitu tekun dan mendalami ilmu agama. Mereka ini adalah insan yang hebat dalam menghafal al-Quran dan bijak dalam hal ehwal hukum agama. Ibnu Sina sebagai contoh adalah pelajar yang bermula dengan pendidikan agama khususnya dalam aspek ilmu al-Quran.
Justeru, mungkin pihak berkuasa khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (menggandakan lagi jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan Agama Islam dan Moral kerana dua subjek ini tunjang kepada kejayaan kemenjadian insan di negara kita.
Malah, waktu untuk subjek penting ini juga sewajarnya ditambah dan dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan awam seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
Kalau subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dianggap penting kepada murid sekolah untuk melahirkan insan yang fasih berbahasa kebangsaan serta mencintai sejarah negara mereka sendiri, begitulah juga dengan subjek Pendidikan Agama Islam dan Moral. Usahlah kita bertanggapan kehadiran subjek Pendidikan Agama Islam dan Moral sebagai subjek tempelan semata-mata.
Kita sangat yakin apabila generasi muda yang jiwanya terisi dengan ilmu agama yang kukuh dan nilai diri penuh adab susila, ia akan membentuk suasana masyarakat dinamik, progresif dan sentiasa mengutamakan gaya hidup cintakan keamanan serta keharmonian.
Kita begitu mengimpikan generasi Muslim negara kita bakal menjadi insan seimbang yang maju dunia dan hebat akhirat. Kita juga mahukan anak kita bukan sahaja terbilang dalam akademik, malah pada masa sama inginkan mereka tampil dengan sahsiah selari dengan ajaran agama.