Fitnah harta buat umat nabi Muhammad s.a.w

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

 

Walaupun surah At-Takathur adalah surah ke-102 dalam al-Quran terdiri daripada lapan ayat pendek, namun ia penuh dengan peringatan Allah SWT terhadap umat manusia.

Surah ini memberikan gambaran mendalam tentang sifat manusia yang terpedaya dan hanyut dalam lautan kebendaan dan hal duniawi semata-mata. Jika ditelusuri, At-Takathur membawa maksud ‘bermegah-megah’ atau ‘saling berbangga.’

Justeru, surah ini mengingatkan manusia tentang bahaya sikap tersebut yang boleh memesongkan tujuan hidup sebenar. Dalam konteks keadaan semasa, Surah At-Takathur sangat relevan, kerana sikap bermegah-megah tanpa kawalan dengan harta benda yang banyak, anak-pinak, kehebatan pengaruh dan ketinggian pangkat semakin berleluasa dalam masyarakat.

n Isi kandungan surah At-Takathur

Surah ini bermula dengan ayat, “Kamu telah dilalaikan (daripada mematuhi perintah Allah) oleh perbuatan bermegah-megah (tentang harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).”

Ayat ini menekankan bahawa manusia sering lalai dan lupa tanggungjawab mereka kepada Allah SWT disebabkan keasyikan dengan kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Mereka saling bersaing untuk mengumpul lebih banyak kekayaan, atau mempunyai lebih banyak anak dan pengikut, seolah-olah kekayaan dan pengaruh itu menjamin kedudukan dan kemuliaan mereka di dunia dan lupa akan kehidupan hakiki di alam sana.

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT menyatakan manusia hanya akan tersedar daripada keasyikan ini apabila mereka menemui kematian. Ketika itulah mereka akan melihat akibat daripada kelalaian dan kealpaan mereka, dan semua yang mereka banggakan selama ini tidak bermakna lagi.

Ia merupakan peringatan bahawa kekayaan duniawi dan segala yang ada di dunia ini hanyalah bersifat sementara, dan bukan penentu kejayaan yang hakiki pada hari akhirat.

Selain itu, surah ini juga memperingatkan bahawa pada hari kiamat, manusia akan ditanya tentang nikmat yang telah diperoleh oleh mereka di dunia. Mereka akan diminta untuk bertanggungjawab terhadap cara mereka menggunakan nikmat tersebut – sama ada ia digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya yang menjadi penyebab kelalaian mereka daripada mengingati Allah SWT dan alpa terhadap amalan yang menjamin kehidupan akhirat mereka.

n Kecenderungan berbangga dengan harta benda dan kedudukan

Dalam dunia moden kini, fenomena yang dinyatakan dalam Surah At-Takathur sangat ketara.

Masyarakat hari ini sangat dipengaruhi oleh nilai materialistik dan individualistik. Kecenderungan untuk menunjukkan kekayaan secara berlebihan dengan niat menunjuk-nunjuk kehebatan – yang sudah tentu menyimpang – sering kali dianggap ukuran kejayaan terutama di paparan media sosial.

Tidak sukar untuk melihat bagaimana media sosial, misalnya, telah menjadi platform di mana orang berlumba-lumba untuk mempamerkan kekayaan, status kehidupan yang hebat yang niatnya bukan memberikan motivasi tetapi menimbulkan rasa iri hati dan dengki kepada orang lain.

Ramai berkongsi gambar rumah agam yang mewah, kereta mahal, pakaian mewah yang mencolok mata untuk menarik perhatian dengan tujuan memperoleh pengiktirafan dan pengaruh yang luas. Seterusnya ia mencetuskan kecaman netizen yang memang suka mencari kesalahan dan kelemahan.

Ini menjadi satu bentuk kebanggaan moden, di mana harta benda dan gaya hidup yang dipamerkan seolah-olah menjadi simbol kejayaan. Mereka yang tidak mampu untuk mencapai standard ini berasa tertekan atau kecewa, manakala yang berjaya pula sering terpedaya dan lupa bahawa semua itu hanya sementara.

Dalam konteks anak-pinak, budaya bermegah dengan bilangan anak-anak yang ramai juga semakin meluas. Ibu bapa sering bangga dengan anak mereka sedangkan didikan anak adalah jauh lebih mustahak berbanding berbangga dengan bilangan yang ramai. Kadang-kadang ia berlaku dengan harapan untuk mendapatkan pengiktirafan daripada masyarakat sekeliling.

Tidak dinafikan, anak-anak menjadi simbol kejayaan keluarga dan mereka yang tidak mencapai tahap yang diharapkan mungkin dianggap kegagalan. Akan tetapi jika ia dipaparkan secara berlebihan dan bukan dengan niat untuk memberikan semangat kepada orang lain secara positif, ini membawa kepada tekanan terhadap keluarga yang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 15: “Sesungguhnya harta-hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.”

n Bahaya sikap saling berbangga dalam masyarakat

Bahaya utama sikap ini adalah kelalaian terhadap tujuan sebenar kehidupan. Apabila manusia sibuk mengumpul harta dan status, mereka cenderung melupakan aspek kerohanian dan tanggungjawab mereka terhadap Allah swt dan manusia. Mereka mungkin mengabaikan kewajipan seperti solat, zakat dan amalan baik yang lain kerana terlalu sibuk mengejar kejayaan duniawi. Dalam jangka panjang, masyarakat yang dikuasai oleh nilai materialistik akan menghadapi masalah moral dan sosial yang kritikal.

Sikap bermegah dengan kekayaan harta juga boleh menyebabkan ketidakadilan sosial. Mereka yang memiliki lebih banyak kekayaan mungkin rasa diri lebih unggul daripada mereka yang kurang berada dan ini membawa kepada ketidaksamaan, iri hati dan permusuhan dalam masyarakat. Nabi SAW bersabda, daripada Ka’ab bin Iyadh maksudnya: “Sesungguhnya tiap-tiap umat itu mempunyai fitnah dan fitnah umatku adalah harta.”   (Hadis Riwayat Al-Tirmizi) Dalam situasi ini, manusia mula melupakan nilai-nilai penting seperti keadilan, kasih sayang, dan saling membantu. Dunia yang dipenuhi kebanggaan material semata-mata adalah dunia yang penuh dengan persaingan, bukan dengan kedamaian dan harmoni.

n Kaitan surah at-Takathur dengan Akhirat

Surah At-Takathur mengingatkan kematian adalah hakikat yang tidak dapat dielakkan. Pada hari kiamat, semua yang dibanggakan di dunia ini akan hilang nilainya. Allah menegaskan manusia akan ditanya tentang semua nikmat yang telah diberikan kepada mereka di dunia ini, termasuk kekayaan dan kedudukan mereka. Oleh itu, sikap berlumba-lumba untuk mengumpul kekayaan dan status hanya akan menyebabkan penyesalan di akhirat jika ia tidak disertai dengan kesedaran akan tanggungjawab terhadap Allah dan manusia sekeliling.

Dalam keadaan ini, Surah At-Takathur memberi peringatan yang sangat jelas kepada manusia, jangan biarkan diri terperangkap dalam ilusi kekayaan dan kebendaan duniawi. Sebaliknya, manusia harus sentiasa mengingati bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan yang lebih penting adalah persiapan untuk kehidupan akhirat yang abadi. Sikap saling berbangga dengan harta, anak pinak, pengaruh, dan pangkat hanya membawa kelalaian dan penyesalan jika ia tidak digunakan untuk kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah SWT menyebutkan dalam surah Al-Isra’ ayat 18-19: “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia, maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.”

Kesimpulan surah At-Takathur memberi peringatan penting dalam keadaan semasa, manusia semakin terperangkap dalam kebanggaan harta benda, anak pinak, pengaruh dan kedudukan. Mesej surah ini menekankan bahawa semua yang ada di dunia ini adalah sementara dan tidak memberi faedah di akhirat jika tidak digunakan dengan betul. Kejayaan sebenar bukan memiliki harta atau status, tetapi dalam menggapai keredaan Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba yang soleh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *