Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian dan sebagainya adalah daripada Allah.
Bahkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila Dia akan melimpahkan rahmat atau menimpakan musibah kepada seseorang atau sesuatu bangsa. Perlu diinsafi apa yang berlaku pada seseorang atau sesebuah bangsa bertitik tolak daripada perilaku manusia sendiri.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum ayat 41)
Walaupun begitu, setiap Muslim wajib meyakini Allah adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, adalah mustahil bagi Allah untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. Ini kerana rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan murka-Nya. Sehubungan itu, Allah berfirman maksudnya: “Dengan yang demikian maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.” (Surah ar-Rum ayat 9)
Maksud firman Allah di atas menegaskan bahawa keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim dalam kehidupan masyarakat Islam akan menjadi faktor utama turunnya kerahmatan serta keberkatan daripada Allah. Sebaliknya, kekufuran, kesyirikan, kemaksiatan, kefasikan, pendustaan terhadap Allah dan kepada sesama manusia punca utama turun azab dan malapetaka yang tidak diundang. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf ayat 96)
Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Daripada satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah itu.
Dalam satu sudut yang lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat dengan ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan serta ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim yang berjaya ialah Muslim yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.
Maka amat tepatlah sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian semua berada pada satu zaman yang penuh dengan kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian semua yang menyaksikan sesuatu yang asing dan baharu akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Asakir)
Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka apabila tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan-akan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan 1,001 dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan serta ketakwaan yang bertakhta di jiwa sanubari.
Malah, dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada seorang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Selanjutnya, Rasulullah pernah memberi peringatan kepada umatnya berkaitan beberapa punca turunnya musibah dan malapetaka yang menimpa mereka. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Ibnu Asakir bahawa Rasulullah ada menyebut di antara punca malapetaka itu ialah hilangnya sifat amanah, hilangnya rasa malu, berleluasanya sifat dusta, sifat takbur, hasad dan tamak. Keenam-enam sifat itu kadang-kadang saling berkaitan antara satu sama lain.
Seseorang yang melakukan khianat terhadap amanah yang terpikul dibahunya biasanya akan hilang rasa malu dalam melakukan berbagai-bagai tugas dan kewajipan bertentangan dengan amanahnya. Malah dia juga tidak segan-segan berdusta untuk mengaburi mata masyarakatnya di samping menutupi segala kesalahan dilakukannya. Lebih teruk daripada itu, agama dijadikan sebagai alat untuk memudahkan jalannya ke arah matlamat yang diimpikannya.
Perlu diingat bahawa khianat terhadap amanah hanya mengundang kefakiran dan kemiskinan sebagaimana maksud sabda Rasulullah: “Amanah itu akan mengundang rezeki sedangkan khianat hanya akan mengundang kefakiran.” (Hadis Riwayat Dailami)
Sifat takbur pula akan menyebabkan seseorang atau sesuatu bangsa tidak pernah menyedari apatah lagi menginsafi segala kesilapan, kecuaian mahupun dosa yang pernah dilakukan. Malah dia juga tidak mahu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap segala musibah dan fenomena yang terjadi dalam kehidupannya. Ini kerana hatinya telah tertutup dengan selaput sifat takbur dan sombong. Oleh sebab itu, segala nasihat dan peringatan tidak pernah diendah, apatah lagi diterima sebagai bahan renungan pada kemudian hari.
Sifat hasad pula akan menyebabkan kedengkian dan permusuhan kepada manusia lain yang mendapat bermacam-macam anugerah nikmat Ilahi. Segala macam cara akan digunakannya untuk menghalang, menghapus dan merampas nikmat berkenaan. Akibatnya, akan tercetuslah dendam dan permusuhan yang tiada berkesudahan. Sifat tamak pula hanya akan menumbuhkan sifat keegoan dan materialistik. Jika sifat ini wujud dalam diri seseorang atau sesuatu bangsa, maka dia akan menjadi hamba dunia. Dunia akan menjadi matlamat terakhirnya. Ini bermakna matlamat akan menghalalkan cara. Untuk itu, semua cara akan dihalalkan demi untuk meraihnya.
Begitulah wajah kehidupan manusia yang sewajarnya direnungi agar dapat dijadikan teladan dan sempadan kepada umat Islam. Ringkasnya, semua punca malapetaka yang menimpa itu adalah berpunca daripada ketohoran iman, kemiskinan rohani, ketandusan amal soleh dan kelunturan akhlak Islam. Hanya iman dan takwa sahajalah bahtera penyelamat utama Muslim daripada sebarang malapetaka dunia dan azab akhirat.