Bersangka baik dengan setiap takdir menimpa

Mohd Rizal Azman Rifin

 

Banjir bagi negeri di Pantai Timur, Semenanjung dan beberapa negeri lain sudah menjadi kelaziman pada setiap hujung dan awal tahun.

Kebiasaannya bermula November hingga Februari, kawasan pinggir Laut China Selatan terpaksa berhadapan tiupan Monsun Timur Laut yang membawa hujan yang lebat dan berterusan.

Seharusnya kita berwaspada dan mengambil kira bahawa apa juga kejadian alam adalah satu peringatan untuk setiap kalangan kita mengambil daya ikhtiar berjaga dari aspek keselamatan nyawa dan harta benda.

Pihak agensi yang bertanggungjawab berkenaan keselamatan awam sentiasa menghebahkan informasi awal supaya bersikap sentiasa berwaspada ketika menghadapi musim banjir itu.

Sesungguhnya, sebagai Mukmin, kita wajib memelihara keselamatan nyawa dan harta benda kerana ia adalah antara elemen penting dalam prinsip maqasid syariah.

Sebagaimana yang sedia ketahui bahawa ada lima prinsip dalam maqasid syariah iaitu menjaga keselamatan agama, keselamatan jiwa(nyawa), menjaga keselamatan akal, menjaga maruah dan keturunan dan memelihara keselamatan harta benda.

Kelima-lima prinsip dalam maqasid syariah itu seharusnya menjadi panduan buat kita meneliti kewajaran sebarang tindakan dalam kehidupan ini.

Begitulah ketika berhadapan dengan situasi musim bah ini kerana apa pun tindakan kita mahupun beberapa pihak lain seperti agensi kerajaan dan NGO bertungkus-lumus masa ini membantu mangsa banjir dikira sebagai memenuhi prinsip maqasid syariah.

Maqasid syariah dengan jelas menyebut bahawa kita berkewajipan memelihara dan menjaga keselamatan jiwa atau nyawa, baik nyawa sendiri mahupun nyawa orang lain.

Justeru itu, setiap individu perlu menjaga keselamatan diri masing-masing dan pada masa sama melarang keras perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri atau orang lain.

Jadi, dalam konteks musim bah ini, setiap anggota masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan yang lazim terkena dengan fenomena alam itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikuti secara rapat sebarang informasi daripada pihak berwajib.

Usah sesekali bersikap ‘keras hati’ dek kerana sayangkan harta benda dan pusaka kediaman hingga menganggap arahan berpindah satu peringatan remeh.

Kalau kita teliti satu firman Allah sebagaimana terkandung dalam Surah al-Maidah ayat 32 Allah menegaskan yang bermaksud, ‘Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, Kami tetapkan atau Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.’

Berdasarkan ayat Allah itu jelas kepada kita bahawa setiap kalangan kita wajib berusaha memelihara dan menyelamatkan jiwa/nyawa.

Oleh itu, dalam konteks musim banjir ini juga perlu mengambil kira aspek dan prinsip yang terkandung dalam maqasid syariah.

Selain itu, mereka yang bertungkus-lumus tanpa mengira masa dan berkorban masa dan tenaga demi memastikan keselamatan nyawa penduduk tidak terancam dengan banjir juga adalah pihak yang berbuat amal makruf yang sangat mulia.

Ini kerana melakukan sesuatu perbuatan amal kebajikan apatah lagi dalam aspek memelihara keselamatan jiwa orang ramai adalah amalan terpuji yang diredai Ilahi.

Ikut dengan rela hati apa sahaja arahan yang dikeluarkan pihak berwajib kerana berusaha menyelamatkan diri adalah sebahiagian daripada tuntutan agama.

Usah terlalu difikirkan berkenaan rumah kesayangan yang ditinggalkan buat sementara kerana apa yang utama perlu diutamakan. Meskipun kita pun mengetahui bahawa dalam prinsip maqasid juga disebutkan bahawa kita berkewajibkan memelihara dan menjaga harta benda, namun dalam konteks musim banjir Feqah ‘Awla Wiyyah’ iaitu prinsip mengutamakan yang utama, seharusnya kita dahului.

Musim banjir juga memerlukan sifat sabar yang tinggi dalam menghadapi situasi yang kurang menyelesakan. Ketika ini nilai sabar akan teruji.

Betul sabar itu mudah disebut mulut, tetapi sesuatu yang sukar untuk diamalikan. Bagaimana sukar sekalipun, situasi yang sedikit menggugat kesabaran tetap perlu dihadapi dengan hati yang reda dan sentiasa memanjat doa supaya banjir tidak bertukar menjadi musibah yang meranapkan nilai sabar.

Mungkin situasi banjir itu medan Allah menguji sabar kita untuk menilai apakah kita benar-benar bersedia menerima segala takdir-Nya dengan hati yang terbuka.

Ingat selalu bahawa Allah banyak kali menyebut kata sabar dalam al-Quran. Misalnya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.’ (Maksud Surah al-Baqarah ayat 153)

Begitu juga dengan satu lagi firman-Nya sebagaimana terkandung dalam surah yang sama pada ayat 155 yang bermaksud, ‘Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.’

Yakin dengan bersikap sabar membuktikan diri kita benar-benar bersedia bersangka baik dengan setiap takdir yang tertimpa. Yakin juga bahawa apa pun ujian seperti terpaksa berhadapan musim banjir itu juga wadah Allah menguji iman dan nilai sabar yang kita ada. Yakin juga, bahawa kita perlu banyak bersabar kerana Allah menjanjikan pahala yang tidak terkira banyaknya.

Dalam Surah al-Zumar ayat 10 Allah berfirman yang bermaksud, ‘Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.’ Janji Allah ini seharusnya menguatkan semangat kita untuk bersabar menghadapi sebarang musibah dan takdir Allah.

Jiwa tenang dengan sikap reda dengan takdir Allah adalah resipi mujarab dalam menempuh situasi sukar seperti di musim banjir ini. Bina kekuatan jiwa bersandarkan usaha, doa dan tawakal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *