10 Peristiwa bersejarah dibulan Rejab

Mohd Rizal Azman Rifin

 

SUDAH menjadi kelaziman masyarakat Islam termasuk di Malaysia mengamalkan ibadah berpuasa sunat sempena kehadiran bulan Rejab. Demikian juga halnya dengan amalan yang lain. Situasi ini menjadikan bulan Rejab sebagai wadah untuk warming up sebelum bertemu bulan Ramadan. Ini kerana bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan disinonimkan dengan amalan spiritual dalam kalangan masyarakat Islam.

Daripada sudut bahasa, Rejab bermaksud kebesaran, keagungan atau kemuliaan. Selain itu, Rejab juga boleh diertikan sebagai rahmat, pemurah dan kebajikan. Bulan Rejab, iaitu bulan ke-7 mengikut takwim Hijriah dianggap sebagai suatu bulan penuh rahmat yang tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amalan ibadah. Inilah bulan yang menggamit hati umat Islam untuk mempertingkat usaha memperbanyak amalan sunat seperti berpuasa dan pelbagai amalan sunat yang lain.

Sesungguhnya, dilihat daripada paparan sejarah pula meninggalkan ingatan terhadap banyak peristiwa yang terjadi semasa bulan Rejab. Sekurang-kurangnya terdapat sepuluh peristiwa bersejarah yang besar yang wajar kita ingat kerana ia ada kaitan dengan perkembangan agama Islam.

Di sini sekadar diperturunkan kembali beberapa detik peristiwa yang pernah terakam dalam bulan Rejab.

Antaranya ialah penghijrahan pertama umat Islam ke Habsyah (Ethiopia). Umat Islam dibenarkan oleh Rasulullah SAW agar mereka berhijrah ke negeri milik Raja Najasyi itu kerana melihat kepada penderitaan umat Islam yang semakin dihimpit penderitaan akibat kezaliman Kaum Quraisy. Dimulakan oleh Uthman bin Affan bersama isteri tercintanya, Ruqattah bt Rasulullah berserta beberapa yang lain seperti Abdul Rahman bin Auf, Abdullah bin Mas’ud, Amr bin Rabi’ah dan isterinya. Peristiwa itu berlaku pada tahun ke-5 selepas pelantikan Rasulullah SAW.

Satu lagi peristiwa yang berlaku pada bulan Rejab ialah berlakunya Perang Tabuk pada awal Rejab tahun ke-9 Hijrah. Peristiwa peperangan ini banyak meninggalkan impak positif terhadap umat Islam hingga kini sebagai pengajaran hidup. Bukan sekadar kita berasa bangga yang Perang Tabuk ini dimenangi oleh umat Islam, tetapi ada bahan rujukan berbentuk pedoman hidup buat kita.

Perkara pokok yang wajar kita kutip menerusi Perang Tabuk ialah sikap bermurah hati para sahabat Baginda SAW yang sanggup bersedekah harta benda yang mereka miliki demi menjaya visi suci memerangi musuh Islam. Dikatakan sebelum berangkatnya tentera Islam ke medan tempur, Saidina Abu Bakar tampil ke hadapan Rasulullah SAW untuk menyerahkan seluruh harta kepunyaan bagi membiayai visi peperangan itu. Sehingga Rasulullah saw bertanyakan kepada sahabat tersayangnya itu, “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” Apa yang Abu Bakar jawab apabila mendengar soalan itu?

Dengan penuh tawakal yang menebal di lubuk hati, Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, saya tinggalkan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.” Subhanallah, maha agung kecintaan Abu Bakar terhadap Allah dan Rasulullah dan betapa luhurnya sikap bersedekah pada jalan Allah yang ada pada diri Abu Bakar. Inilah pengajarannya yang perlu kita renungi. Renungkan, kita hendak masukkan duit seringgit ke dalam tabung masjid pun terasa berat dan kaku tangan!

Dikatakan Saidina Umar al-Khattab turut menderma separuh daripada harta kekayaan untuk menjayakan keberangkatan angkatan tentera Islam dalam peperangan tersebut. Selain itu, Uthman bin Affan membiayai sepertiga daripada kekuatan tentera Islam. Malah kaum muslimah tidak berdiam diri melihat sahaja, kerana mereka juga turut terpanggil untuk menderma apa sahaja yang termampu. Dikatakan mereka berduyun-duyun membawa harta benda dan mas kahwin mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh rasa ikhlas demi melihat kejayaan tentera Islam. Hebat dan sangat mengagumkan sekali panorama landskap sosial umat pada zaman Rasulullah saw.

Kemudian, pada hari Jumaat 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi, Baitul Muqaddis di Jurusalem berjaya dikembalikan ke pangkuan penguasaan umat Islam menerusi usaha seorang pahlawan agung, Salahuddin al-Ayubi. Menariknya peristiwa ini bukan kerana terpegun dengan kemenangan Islam di bawah kepemimpinan Salahuddin itu semata-mata, akan tetapi peristiwa penuh bersejarah itu terkandung satu paparan hikmah yang sukar ditemui masakini.

Peristiwa penawanan kembali Baitul Muqaddis itu penting kerana ia sarat dengan nilai kemanusiaan tinggi yang terpancar menerusi akhlak peribadi Salahuddin bersama bala tentera yang sedikitpun tidak bertindak membalas dendam dan berbuat penghinaan terhadap puak Kristian yang kalah. Malah Salahuddin mewartakan titah perintah melarang sama sekali umat Islam menceroboh dan meruntuhkan rumah-rumah ibadat puak Kristian. Nampaknya watak Salahuddin merupakan legasi akhlak Rasulullah SAW yang kaya dengan sikap toleransi terhadap penganut agama lain. Inilah sebenarnya watak akhlak Islam yang tidak membenarkan umatnya membuat provokasi dan sabotaj terhadap pengikut agama lain yang tidak memerangi Islam.

Satu lagi peristiwa yang teragung yang berlaku dalam bulan Rejab iaitu peristiwa Israk Mikraj. Penting kerana ia ada hubungkait dengan perintah ibadah solat. Ibadah wajib yang lain seperti puasa, haji dan zakat misalnya menerusi wahyu yang disampaikan oleh Malaikat Jibril, namun, solat suatu perintah langsung daripada Allah kepada Rasulullah SAW. Sebab itulah solat menjadi ibadah tiang seri kepada Islam. Solat adalah tiang agama.

Gambaran seksaan kepada sesiapa yang meninggalkan solat dan amal ibadah wajib yang lain juga dipaparkan kepada Rasulullah SAW sebagai satu amaran keras daripada Allah. Kita selain membaca sirah berkenaan peristiwa Israk Mikraj, tetapi sejauh mana kita mengambil pengajaran daripadanya? Apakah peristiwa tersebut sekadar menjadi bahan pendengaran di dalam kuliah agama dan selepas itu kita lupakan? Lalu, kita tunggu lagi pada 27 Rejab tahun mendatang untuk memperbaharui ingatan kita terhadap intipati peristiwa penuh berkat itu?

Sudah sampai masanya setiap bulan dalam takwim Hijrah kita telusuri pensejarahannya dan mengambil iktibar pengajaran yang terkandung di dalamnya. Jadikan ia sebagai bahan rujukan dalam membangkitkan motivasi diri untuk memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul, cemerlang dalam ibadah, gemilang dalam sahsiah, terbilang dalam ukhuwah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *