Hasri Harun

 

Perkembangan teknologi maklumat masa kini sudah membuka ruang luas kepada manusia untuk berkomunikasi, berkongsi maklumat dan mengekspresikan diri melalui pelbagai platform media sosial.

Namun, di sebalik kemudahan dan kebebasan ini, muncul satu fenomena yang membimbangkan dalam kehidupan umat Islam iaitu dosa jari.

Istilah ini merujuk kepada segala bentuk dosa dilakukan melalui hujung jari, khususnya ketika menaip, menyentuh skrin atau mengklik sesuatu di media sosial yang membawa kepada kemudaratan terhadap diri sendiri atau orang lain.

Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan keharmonian masyarakat, malah turut mengundang kemurkaan Allah SWT.

Media sosial dan tanggungjawab digital

Islam tidak menolak kemajuan teknologi, bahkan menggalakkan umatnya memanfaatkan segala kemudahan dengan niat yang baik. Namun, Islam juga menegaskan setiap perbuatan manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” (Surah Al-Isra’: 36)

Sesungguhnya setiap pancaindera termasuk jari-jemari yang digunakan untuk menaip atau berkongsi sesuatu di media sosial akan dipersoalkan di akhirat kelak. Oleh itu, penggunaan media sosial mesti berpaksikan kepada ilmu, adab dan tanggungjawab, bukan emosi dan hawa nafsu.

Dosa jari: Bentuk dan manifestasi

Dalam konteks ini dosa jari dalam konteks media sosial mempunyai pelbagai bentuk. Antara yang paling ketara ialah:

1. Fitnah dan penyebaran berita palsu.

Ramai pengguna media sosial gemar berkongsi sesuatu tanpa menyemak kesahihan sumber. Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang didengarnya.” (Riwayat Muslim)

Penyebaran maklumat palsu boleh merosakkan reputasi orang lain, menimbulkan kekeliruan, bahkan menghasut kebencian dalam masyarakat.

2. Umpatan dan cercaan.

Begitu juga menghina, memperlekeh atau mempermainkan individu lain secara dalam talian juga termasuk dosa besar akibat jari yang tidak berpaksi kepada iman. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 12: “Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.”

Di media sosial, umpatan berlaku secara halus melalui komen, sindiran, atau posting yang menjatuhkan maruah orang lain.

3. Penyebaran aurat dan maksiat.

Jari yang digunakan untuk memuat naik gambar tidak sopan, video lucah atau kandungan yang menggoda turut menjadi punca dosa jari. Islam menuntut umatnya menjaga pandangan dan kehormatan diri.

4. Sebar kebencian dan perpecahan.

Dalam ruang maya, ramai yang menulis komen kasar, menghina agama lain atau mengapi-apikan perbalahan politik dan mazhab. Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Tidak boleh dia menzaliminya, menghina atau merendahkannya.” (Riwayat Muslim)

Punca dosa jari membarah

Fenomena dosa jari ini membarah kerana beberapa faktor utama. Pertama, kurangnya kesedaran spiritual dan kawalan diri. Ramai pengguna media sosial tidak menyedari bahawa setiap ‘klik’ mereka direkodkan oleh malaikat dan akan dihisab di akhirat.

Kedua, keghairahan mencari perhatian dan populariti. Dalam budaya likeshare dan followers, ramai sanggup menulis atau memuat naik kandungan provokatif demi tontonan ramai.

Ketiga, pengaruh budaya hedonisme digital, yang menjadikan hiburan dan gosip sebagai gaya hidup utama tanpa menilai dosa dan pahala.

Selain itu, faktor anonimitas di dunia maya juga mendorong individu bertindak tanpa batasan. Identiti tersembunyi menyebabkan sesetengah pengguna berani menghina, menipu atau menyebar fitnah tanpa rasa bersalah.

Kesan dosa jari terhadap individu dan masyarakat

Dosa jari bukan sahaja memberi kesan rohani, bahkan membawa implikasi sosial yang luas. Bagi individu, ia menimbulkan kekerasan hati, hilangnya keberkatan hidup dan merosakkan hubungan dengan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan satu perkataan tanpa berfikir bahawa ia berbahaya, boleh menyebabkan dia tergelincir ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala bagi masyarakat, dosa jari membawa kepada perpecahan, hilangnya kepercayaan dan budaya kebencian.

Fitnah politik, serangan peribadi dan penghinaan agama di media sosial menimbulkan krisis nilai serta menggugat perpaduan umat. Akhirnya, masyarakat menjadi celaru, mudah termakan propaganda dan hilang adab dalam berinteraksi.

Garis panduan Islam mengawal jari

Islam menggariskan prinsip yang jelas untuk mengawal perbuatan melalui jari-jemari, terutama dalam media sosial. Antara panduan yang boleh dijadikan pedoman ialah:

1. Tabayyun (menyemak maklumat)

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (tabayyun) kebenarannya.” (Surah Al-Hujurat: 6)

Prinsip ini wajib diamalkan sebelum menekan butang share atau forward.

2. Kawalan lidah dan tulisan

Lidah dan jari mempunyai fungsi sama dalam komunikasi. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks digital, hadis ini bermaksud: jika sesuatu itu tidak membawa manfaat, maka jangan dikongsikan.

3. Menulis dengan niat dakwah dan kebaikan

Gunakan media sosial sebagai medan amar makruf nahi mungkar – berkongsi ilmu, menyeru kebaikan dan menyebar kasih sayang.

Firman Allah SWT: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa.” (Surah Al-Maidah: 2)

Menyucikan dosa jari

Islam tidak menutup pintu taubat. Setiap dosa, termasuk dosa jari, masih boleh diampunkan jika disertai dengan penyesalan dan usaha memperbaiki diri. Langkah pertama ialah berhenti daripada kebiasaan dosa digital, kemudian memohon keampunan kepada Allah SWT dengan penuh keinsafan. Seterusnya, memohon maaf kepada individu yang pernah disakiti atau difitnah melalui tulisan. Akhirnya, beramal dengan kebaikan di media sosial seperti berkongsi ayat al-Quran, hadis dan nasihat yang menenangkan jiwa.

Kesimpulan

Fenomena ‘dosa jari’ menggambarkan bagaimana kemajuan teknologi boleh menjadi medan pahala atau neraka, bergantung kepada bagaimana ia digunakan. Islam menuntut setiap Muslim beretika dalam dunia digital sebagaimana mereka beradab dalam dunia nyata.

Jari-jemari yang digunakan untuk menaip kata-kata kebaikan, memberi nasihat dan menyebarkan ilmu akan menjadi saksi kebaikan di akhirat. Sebaliknya, jari yang digunakan untuk menulis fitnah dan kebencian akan menjadi saksi kejahatan di hadapan Allah SWT.

Maka, mari kita menjadikan setiap sentuhan jari di media sosial sebagai wasilah dakwah dan amal soleh, bukan punca dosa yang membarah.

Semoga jari-jemari kita menjadi saksi kebaikan, bukan penyesalan di hari pembalasan.

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *