Dr Mohd Khafidz Soroni
Pada siri lalu, ada dibawakan hadis Anas bin Malik RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia satu zaman yang ketika itu orang yang bersabar di atas agamanya dalam kalangan mereka adalah seperti orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis gharib)
Selain Anas RA, terdapat enam lagi sahabat yang meriwayatkan hadis yang hampir serupa. Mereka ialah Abu Tha’labah al-Khusyani RA, Ibnu Mas’ud RA, Abu Umamah RA, ‘Utbah bin Ghazawan RA, Ibnu ‘Umar RA dan Mu’az bin Jabal RA. Bagaimanapun, sebahagiannya tidak sunyi daripada kritikan. Namun, kepelbagaian jalan riwayat hadis ini menguatkan antara satu sama lain.
Hadis Abu Tha’labah al-Khusyani RA lebih panjang teksnya, berkaitan dengan tafsiran firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu sekalian (daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya).” (al-Ma’idah: 105) Lalu, Nabi SAW bersabda: “Bahkan, suruhlah kepada kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran, hingga apabila kamu melihat sifat bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dunia yang diutamakan dan setiap orang yang mempunyai pandangan kagum dengan pandangannya, maka hendaklah kamu menjaga hal dirimu sendiri dan tinggalkanlah orang awam. Sesungguhnya di belakang kamu sekalian terdapat hari-hari yang ketika itu bersabar padanya adalah seperti menggenggam bara api. Orang yang beramal padanya pula memperolehi seumpama pahala 50 orang lelaki yang beramal sepertimana amalan kamu sekalian.” Kata ‘Abdullah bin al-Mubarak: Terdapat perawi yang menambah pada hadis, lalu seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, pahala 50 orang daripada kamu atau daripada mereka?” Jawab Baginda: “Bahkan, pahala 50 orang daripada kamu sekalian.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Alangkah besarnya ganjaran yang disediakan bagi orang yang bersabar dan berpegang teguh dengan agama ketika berlakunya fitnah di akhir zaman. Terdapat dua pandangan ulama dalam menghuraikan tentang gandaan pahala yang disebutkan itu.
Pandangan pertama menyatakan, gandaan pahala tersebut khusus bagi kerja menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran atau bagi amalan yang berat untuk dilaksanakan. Imam Ibnu ‘Abdis Salam dalam Amalinya menyatakan bahawa pemahaman hadis ini perlu dibina atas dua kaedah. Pertama, amalan itu menjadi mulia dengan sebab hasilnya. Kedua, orang yang asing di awal Islam adalah seperti orang yang asing di akhir zaman. Maka menurut beliau, mencegah kemungkaran di tengah-tengah kaum Muslimin serta menzahirkan syiar Islam itu berat bagi golongan terkemudian kerana tiadanya pendokong dan banyaknya kemungkaran di kalangan mereka, sepertimana orang yang menegur pemerintah yang zalim. Sebab itu, sabda Nabi SAW: “Orang yang bersabar seperti orang yang menggenggam bara api.” Ia tidak akan mampu terus berbuat demikian kerana makin bertambah sukar. Justeru, begitu jugalah orang terkemudian dalam usaha memelihara agamanya. Adapun orang terdahulu, mereka tidaklah sedemikian kerana ramainya pendokong dan kurangnya kemungkaran. (Lihat: Qut al-Mughtazi oleh al-Suyuti, 2/763)
Pandangan kedua menyatakan, gandaan pahala tersebut umum bagi semua amalan yang dilaksanakan pada zaman bersabar ketika berlakunya fitnah. Imam Ibnu Hibban dalam Sahihnya meletakkan tajuk bab bagi hadis ini seperti berikut: “Pernyataan mengenai pemberian Allah jalla wa’ala terhadap orang yang mentaati Allah dan Rasul-Nya di akhir zaman, iaitu pahala 50 orang yang beramal sepertimana amalannya.”
Walaupun demikian, orang yang hidup di akhir zaman tetap tidak akan dapat menandingi kelebihan para sahabat RA. Mereka tetap golongan yang hidup dalam kurun yang terbaik secara mutlak, meskipun ada orang terkemudian yang mendapat gandaan pahala seperti yang dinyatakan. Ini kerana Nabi SAW bersabda: “Sekiranya seseorang kamu menginfakkan emas seumpama Bukit Uhud sekalipun, nescaya tidak akan menyamai satu atau separuh cupak (yang diinfakkan oleh) seseorang daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para sahabat tetap golongan manusia yang terbaik, selepas para Nabi dan Rasul, berdasarkan banyak faktor. Antaranya ialah perdampingan mereka dengan Rasulullah SAW, perjuangan mereka membela Baginda SAW, kesanggupan mereka berhijrah dan menghulur bantuan, pemeliharaan mereka terhadap syariat Baginda SAW, usaha gigih mereka menyebarkan Islam, pengorbanan mereka harta dan nyawa serta pengaliran pahala umat Islam yang terkemudian secara berterusan kepada mereka.
Pastinya kita tidak akan jadi seumpama sahabat RA. Namun, sangat rugilah orang yang tidak memperdulikan tawaran pahala yang amat besar ini.
