Dr Mohd Khafidz Soroni
Dalam menghadapi fitnah akhir zaman, elok kita amati bagaimana sikap salafussoleh dalam menghadapi fitnah yang berlaku. Pastinya pada sikap dan pendirian mereka ada tauladan yang boleh kita contohi dalam menghadapi situasi yang berlaku pada zaman mutakhir kini.
Antara sikap dan pendirian salafussoleh ialah bersabar terhadap fitnah yang melanda. Daripada Anas bin Malik RA katanya: “Sabda Rasulullah SAW: ‘Akan datang kepada manusia satu zaman yang ketika itu orang yang bersabar di atas agamanya dalam kalangan mereka adalah seperti orang yang menggenggam bara api.’” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadis gharib)
Yuhannas maula az-Zubair mengkhabarkan bahawa beliau pernah duduk di sisi Abdullah bin Umar RA pada masa berlakunya fitnah, lalu datang seorang hamba perempuan beliau kepadanya. Setelah memberi salam, perempuan itu berkata: “Sesungguhnya aku ingin keluar (dari kota Madinah) wahai Abu Abdur Rahman kerana keadaan terasa semakin sulit bagi kami.”
Abdullah pun menjawab: “Duduk diamlah si kerdil, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada seorang pun yang bersabar terhadap kesusahan dan kesulitan yang terdapat padanya (di kota Madinah) melainkan aku akan menjadi saksi atau pemberi syafaat kepadanya pada hari kiamat kelak.’” (Riwayat Muslim)
Walaupun hadis di atas berkaitan kelebihan khusus kota Madinah, namun maksud asasnya adalah sama iaitu bersabar. Bersabar hakikatnya bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kekuatan iman dan pengorbanan jiwa raga yang tinggi. Antara sikap mereka lagi ialah mengasingkan diri daripada terbabit dengan fitnah.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan terjadi nanti pelbagai fitnah. Ketika itu, orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan, dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari. Sesiapa yang mengintai fitnah itu, maka fitnah itu pasti akan mempengaruhinya dan sesiapa yang menemukan tempat pelarian atau perlindungan daripadanya, maka hendaklah dia berlindung kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Amir bin Saad menceritakan: “Ketika Saad bin Abi Waqqas RA sedang mengurus untanya, anaknya Umar mendatanginya. Maka, ketika Saad melihatnya, beliau berkata: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada keburukan penunggang ini’. Setelah turun dari kenderaannya, dia berkata: ‘Adakah ayah hanya mengurus unta dan kambing sahaja, sementara ayah membiarkan manusia saling memperebutkan kekuasaan di antara mereka?’ Lantas, Saad menepuk dadanya, lalu berkata: ‘Diamlah, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, berasa cukup lagi menyembunyi diri.’” (Riwayat Muslim)
Saad bin Abi Waqqas RA juga pernah didatangi sekumpulan orang mengajaknya untuk turut serta dalam fitnah yang berlaku di antara sahabat RA. Lalu, jawab beliau: “Aku tidak akan berperang sehinggalah kamu mampu membawakan kepadaku sebilah pedang yang mempunyai dua biji mata, lidah dan bibir serta mengetahui orang yang Mukmin daripada yang kafir. Jika aku menetak orang Muslim, ia dapat memberitahuku tentangnya, dan jika aku menetak orang kafir, ia dapat membunuhnya.” (Riwayat al-Hakim, katanya: Sahih menurut syarat Syaikhain)
Antara sikap mereka ialah berdoa memohon perlindungan kepada Allah SWT. Daripada Zaid bin Thabit RA Nabi SAW bersabda: “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada segala fitnah, sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi.” (Riwayat Muslim)
Abu Hurairah RA berkata: “Akan berlaku fitnah yang tiada apa dapat menyelamatkan daripadanya melainkan doa seperti doa orang yang sedang tenggelam.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Al-Hasan al-Basri pernah melarang orang ramai daripada keluar menentang kezaliman al-Hajjaj, katanya: “Wahai manusia, sesungguhnya demi Allah, tidaklah Allah menguasakan al-Hajjaj ke atas kamu sekalian melainkan ia adalah hukuman. Maka, janganlah kamu menentang hukuman Allah itu dengan pedang, tetapi hendaklah kamu sekalian tenang dan berdoa. Sesungguhnya Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepada-Nya dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).” (Surah al-Mu’minun ayat 76) (Lihat: Tarikh Dimasyq oleh Ibnu Asakir, 12/177)
Antara sikap dan pendirian mereka juga ialah istiqamah dalam menunaikan ibadah. Daripada Ma’qil bin Yasar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Beribadah pada masa terjadi pembunuhan (fitnah) adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Riwayat Muslim)
Amat banyak didapati dalam sejarah hidup salafussoleh ketekunan mereka dalam menunaikan amal ibadah, meskipun dalam situasi fitnah.
