Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Pada zaman yang penuh kemodenan ini dan lebih-lebih lagi pada era media sosial serba pantas, menjaga aib diri, keluarga dan orang lain menjadi semakin mencabar. Ia tidak lagi boleh ditujukan kepada golongan muda semata, tetapi ia ditujukan kepada semua lapisan masyarakat sama ada tua atau muda. Perkara ini menjadi satu fenomena apabila manusia tidak lagi ada sifat malu dalam diri hingga menceritakan apa sahaja termasuk isu dalam kain kepada khalayak ramai semata-mata mengejar followers. Lebih membimbangkan, segala maklumat mudah tersebar, emosi mudah diprovokasi dan kesilapan manusia sering dijadikan bahan tontonan umum. Namun dalam Islam, menjaga aib bukan sekadar adab sosial, bahkan ia adalah akhlak agung yang mencerminkan keimanan dan kematangan jiwa sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini meletakkan satu prinsip besar yang perlu dipegang oleh umat Islam agar semua kita dapat menjaga maruah diri, keluarga dan orang lain bagi memastikan hidup tenang seterusnya mendapat perlindungan Allah. Berikut lima kebaikan utama bagi mereka yang menjaga aib sesama manusia.

1. Mendapat perlindungan Allah di dunia dan akhirat

Menutup aib orang lain menjadi sebab Allah menutup keaiban diri kita. Tiada manusia yang bebas daripada kesilapan. Apabila seseorang memilih untuk tidak membuka keburukan orang lain, Allah membalasnya dengan keampunan dan perlindungan yang berpanjangan. Maka benarlah apabila Nabi SAW menyarankan dalam hadis di atas supaya umat Islam sentisa menutup aib sesiapa sahaja agar Allah SWT memelihara aibnya di dunia dan akhirat.

2. Membina sifat rahmah dan kemanusiaan dalam jiwa

Menjaga aib lahir daripada rasa empati dan kasih sayang antara manusia. Islam tidak mendidik umatnya menjadi penghukum, tetapi Islam sentiasa membimbing umatnya ke arah kemuliaan. Sikap ini menzahirkan keindahan Islam sebagai agama yang memelihara maruah manusia dan keharmonian sejagat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul dosa menuduh secara dusta dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 58)

3. Mementingkat keharmonian sosial

Banyak konflik masyarakat berpunca daripada pendedahan aib, fitnah dan gosip. Apabila aib dijaga, hubungan sosial menjadi lebih aman, kepercayaan terpelihara dan perpaduan dapat dibina dengan kukuh. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mengumpat antara satu sama lain.” (Surah al-Hujurat: 12)

Sangkaan buruk yang tersebar luas pada hari ini menerusi pelbagai watak dan isu adalah berpunca daripada persepsi yang diwujudkan oleh manusia sendiri. Fitnah semakin tersebar dan tiada penghujung. Netizen pula terus menghukum dan menyebarkan sebelum memahami isu sebenar. Apa yang penting bagi netizan ialah berita sensasi yang telah tersebar dan kita percaya bulat-bulat apa yang disebarkan tanpa merujuk kepada bahan bukti yang tepat. Inilah bahana yang paling membimbangkan pada zaman ini yang perlu sama-sama kita berganding bahu membendungnya.

4. Menyucikan jiwa dan mempertonjolkan akhlak mulia seorang Muslim

Orang yang menjaga aib diri, keluarga dan orang lain akan terhindar daripada penyakit hati seperti ghibah, namimah dan hasad dengki. Ia melatih lidah agar sentiasa berhikmah dalam segala tindak tanduk kita. Selain itu, memelihara aib ini akan membuka ruang kepada setiap hamba Allah SWT utk bermuhasabah diri menerusi munajat dan memohon petunjuk-Nya. Ia sekali gus mendidik hati manusia agar sentiasa memelihara akhlak. Rasulullah SAW bersabda: “Muslim sebenar ialah seseorang yang berjaya membuatkan orang Muslim lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5. Memperoleh kemuliaan dan kepercayaan masyarakat

Individu yang dikenali sebagai penjaga rahsia dan maruah orang lain akan dihormati. Mereka dipercayai, disegani dan sering dijadikan rujukan dalam masyarakat kerana kebijaksanaan serta ketenangan sikapnya. Mana mungkin orang akan percaya kepadanya jika dia sendiri membuka keaiban diri dan keluarganya sendiri? Oleh sebab itu, menjaga keaiban dalam apa jua keadaan amat penting bagi membina kepercayaan masyarakat kepadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

​Hadis ini amat jelas menunjukkan segala kerosakan bermula daripada lidah dan jari jemari yang diterjemahkan menerusi lisan atau penulisan tidak berfaedah. Lebih teruk lagi apabila segala keaiban menjadi zikir hariannya sehingga menyebabkan fitnah berleluasa tanpa mampu dibendung. Perbuatan seperti ini akan menghina diri sendiri di mata masyarakat sama ada Muslim atau bukan muslim.

Justeru, menjaga aib bukan bermakna meredai kezaliman atau kesalahan yang perlu dibetulkan tetapi ia meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam membezakan antara menasihati pendosa secara hikmah dan menutup aibnya dengan situasimenasihatinya dengan membuka aib secara terbuka hingga pendosa itu malu dan membuka ruang pelbagai persepsi masyarakat. Dalam hal ini, ilmu berkaitan amar makruf nahi mungkar amat penting supaya kita tidak bertindak luar kawalan ilmu. Dalam dunia yang semakin tegang dengan kecaman dan pendedahan maklumat yang mengelirukan, maka menjaga aib sesama Muslim adalah tanda kematangan iman dan ketinggian akhlak. Akhirnya, masyarakat yang saling menjaga maruah ialah masyarakat yang dirahmati Allah. Ia dibina atas asas kepercayaan, kasih sayang dan hikmah.

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *