Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Dalam dunia moden yang dipenuhi teknologi canggih, ramalan data besar dan kecerdasan buatan, hampir segala-galanya boleh diramal serta dikawal. Namun, hakikat al-Quran sejak lebih 1,400 tahun lalu telah menegaskan ada batas yang tidak mampu ditembusi oleh akal dan sains manusia.

Hakikat ini sangat jelas dalam Surah Luqman ayat 34, yang menyebut tentang lima rahsia Allah yang mutlak berada dalam ilmu-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya pengetahuan tentang hari kiamat; dan Dia menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim; dan tiada seorang pun mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Isu semasa yang menggemparkan baru-baru ini iaitu peristiwa kematian ramai orang yang tak disangka, bila masanya dan di mana lokasinya, menjadi peringatan nyata bahawa kehidupan manusia adalah ketentuan Allah bukan perancangan mereka semata-mata.

Rahsia pertama: Pengetahuan tentang hari kiamat

Walau setinggi mana kemajuan sains kosmologi, tarikh berakhirnya alam semesta tetap berada dalam ilmu Allah semata-mata. Ramalan kiamat, teori kehancuran planet atau simulasi saintifik hanyalah andaian yang bersifat relatif. Al-Quran dengan tegas menutup ruang spekulasi ini agar manusia tidak terjebak dalam sangkaan yang melalaikan, sebaliknya fokus kepada persiapan iman dan amal.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu tentang hari kiamat, bilakah terjadinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan tentangnya hanyalah di sisi Tuhanku. Tidak ada sesiapa yang dapat menjelaskannya pada waktunya selain Dia.” (Surah al-A’raf ayat 187)

Ayat ini menegaskan pertanyaan tentang bila kiamat bukan keutamaan dalam agama. Apa yang lebih penting ialah apa persiapan kita sebelum ia berlaku. Allah SWT menyimpan rahsia waktu kiamat agar manusia sentiasa hidup dalam keadaan berjaga-jaga.

Rasulullah SAW juga menjelaskan, apabila baginda ditanya tentang kiamat: “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sangat mendalam maknanya. Bahkan Rasulullah SAW tidak diberi pengetahuan tentang waktu kiamat. Ini menunjukkan bahawa rahsia ini benar-benar eksklusif milik Allah, dan manusia tidak perlu memaksakan diri untuk mengetahuinya.

Keseluruhannya, rahsia tentang hari kiamat mengajar manusia rendah diri di hadapan ilmu Allah, menutup pintu kesombongan intelektual, dan membuka pintu taubat serta kesungguhan beramal.

Rahsia kedua: Penurunan hujan

Walaupun teknologi ramalan cuaca semakin tepat, hakikatnya hujan tetap turun dengan izin Allah. Ada kawasan diramal hujan, tetapi kering, dan ada tempat tidak dijangka dilanda banjir. Dalam konteks semasa, perubahan iklim global sering mengingatkan manusia bahawa alam bukan milik mutlak kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan menyebarkan rahmat-Nya. Dialah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji.” (Surah asy-Syura ayat 28)

Ayat ini menegaskan hujan bukan sekadar fenomena alam, tetapi rahmat Ilahi yang turun tepat pada waktu Allah kehendaki. Manusia mungkin mengukur awan, tekanan udara dan kelembapan, namun hanya Allah mengetahui bila hujan benar-benar akan diturunkan.

Rahsia ketiga: Apa yang ada dalam rahim

Sains perubatan mampu mengesan jantina dan perkembangan janin, namun hakikat masa depan seorang anak daripada segi iman, rezeki, umur, dan takdir hidupnya tetap rahsia Allah. Ayat ini mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu taasub dengan perancangan duniawi semata-mata, tetapi mendidik anak dengan nilai akidah dan akhlak sejak awal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang Dia kehendaki. Tiada Tuhan selain Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali Imran ayat 6)

Ayat ini menegaskan pembentukan manusia bukan berlaku secara kebetulan atau semata-mata proses biologi, tetapi di bawah kehendak dan hikmah Allah.

Rahsia keempat: Apa yang akan diusahakan esok hari

Manusia merancang kerjaya, perjalanan, bahkan saat kematian orang lain, namun tidak mengetahui apa yang bakal berlaku kepada dirinya sendiri. Tiada seorang pun mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya pada hari esok. Maksud ‘diusahakan’ (madha taksibu ghadā) bukan sekadar pekerjaan atau aktiviti harian, tetapi merangkumi segala bentuk perbuatan, keputusan, rezeki, ujian, dosa dan pahala yang akan berlaku dalam hidup seseorang.

Manusia boleh merancang dengan rapi, namun hakikatnya hasil dan realiti esok hari sepenuhnya berada dalam ilmu dan ketentuan Allah. Ada yang merancang untuk beramal, tetapi terhalang; ada yang tidak berniat, tetapi Allah bukakan jalan kebaikan; dan ada pula yang menyangka dirinya selamat namun diuji tanpa disangka.

Rahsia kelima: Di bumi mana seseorang akan mati

Manusia boleh merancang tempat tinggal, destinasi percutian, bahkan lokasi rawatan, tetapi tidak mengetahui di mana nyawanya akan berakhir. Ada yang lahir di satu negara, hidup di negara lain, dan meninggal di tanah yang tidak pernah terlintas. Kematian di perantauan, seperti yang berlaku di Jeddah, baru-baru ini mengingatkan bumi seluruhnya adalah milik Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di mana sahaja kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang kukuh.” (Surah an-Nisa ayat 78)

Ayat ini menegaskan tiada tempat yang mampu melindungi manusia daripada ketentuan maut. Hakikat ini mengukuhkan akidah tentang qadak dan qadar, mendidik manusia sentiasa bersedia dengan amal soleh di mana sahaja berada.

Pada ini, ada yang mempertikai takdir, ada yang menyalahkan manusia semata-mata, dan ada yang lupa untuk kembali kepada hikmah Ilahi. Al-Quran mengajar supaya setiap musibah ditadabbur dengan iman bukan disensasikan. Allah SWT mengingatkan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan kematian bukan pengakhiran, tetapi pintu menuju alam akhirat.

Mengaplikasikan pengajaran Surah Luqman pada ayat 34 dalam kehidupan seharian menuntut benteng yang kukuh iaitu akidah yang benar, syariah yang diamalkan, dan akhlak yang mulia. Akidah mengajar kita menerima takdir dengan reda; syariah membimbing tindakan agar selari dengan perintah Allah; dan akhlak membentuk cara kita berinteraksi dengan manusia ketika diuji musibah dengan empati, bukan celaan.

Sebagai kesimpulan, lima rahsia Allah dalam Surah Luqman pada ayat 34 bukan untuk melemahkan manusia, tetapi untuk mendidik jiwa agar kembali kepada-Nya. Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, rahsia ini menjadi penenang bahawa hidup tidak terlepas daripada ilmu-Nya dan rahmat-Nya. Setiap peristiwa kematian, termasuk yang berlaku baru-baru ini, adalah peringatan agar kita memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Mudah-mudahan kita mampu mengambil iktibar, memperteguh iman, dan menjadikan kehidupan ini ladang amal menuju kebahagiaan abadi di akhirat.

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *