Mohd Rizal Azman Rifin

Tanpa disedari kita sebenarnya sedang menuju bulan ‘Penghulu Segala Bulan’ iaitu Ramadan al-Mubarak.

Meskipun Ramadan begitu dinanti kehadirannya, seharusnya kita tidak sesekali membiarkan Syaaban berlalu tanpa diambil manfaat dan keberkatannya.

Seharusnya juga kita menjadikan amal ibadah khususnya ibadah puasa sunat pada bulan Syaaban sebagai latihan untuk berdepan dengan ibadah puasa wajib yang bakal kita laksanakan nanti di bulan Ramadan.

Syaaban dapat dikatakan sebagai jambatan menuju Ramadan. Berusahalah penuhi jadual kerohanian kita pada bulan mulia ini dengan agenda mempertingkat kualiti ibadah dan membersihkan hati.

Ini salah satu amalan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dan kita seharusnya mempraktikkan amalan terbabit sebagai lambang mencontohi Rasulullah SAW dalam beramal ibadah.

Seharusnya apabila kehadiran Syaaban kita raikannya dengan amalan hasanah mengikut sunah kerana bulan ini begitu begitu diambil berat oleh Rasulullah ketika hayat Baginda dengan memperbanyakkan amalan berpuasa.

Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bagaimana menghidupkan dan meraikan kehadiran Syaaban dengan kaedah memperbanyakkan amalan berpuasa hinggakan diriwayatkan bahawa baginda berpuasa sebahagian besar hari pada bulan ini.

Aisyah ada melaporkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan melainkan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban. (Hadis ini direkodkan oleh Bukhari)

Daripada kenyataan yang dikeluarkan Aisyah itu, maka jelas kepada kita bahawa amalan sunah yang seharusnya kita tegakkan ketika berada di bulan Syaaban ini ialah melakukan ibadah berpuasa sunat.

Harus kita ingat apa yang pernah dipesankan oleh diceritakan oleh Usamah bin Zaid yang katanya, “Aku bertanya kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian bulan Syaaban. Lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat An-Nasai’)

Kenyataan Rasulullah SAW ini sepatutnya menjadi daya dorongan buat kita dan ahli keluarga menggerakkan semangat untuk berpuasa. Biar semangat berkobar-kobar seperti juga semasa kita menyambut bulan Ramadan.

Jangan membiarkan diri kita termasuk dalam kategori golongan mukmin yang melupakan kelebihan bulan Syaaban.

Dalam kalangan ulama merumuskan bahawa berpuasa pada Syaaban adalah ibadah puasa yang terbaik selepas puasa wajib pada Ramadan.

Sambil itu, Abdulullah bin Amru bin Al-As ada menceritakan bahawa Rasulullah SAW memberitahu, “Allah memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-nya kecuali dua golongan iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Muaz bin Jabal juga ada mempunyai maklumat berkenaan fadilat Syaaban ini. Katanya, Rasulullah SAW pernah mengatakan, ‘Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.’ (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Justeru, berasaskan kepada dua riwayat hadis terbabit, jelas kepada kita bahawa Syaaban adalah bulan yang sangat perlu kita manfaatkan sepenuhnya dan tidak wajar kita abaikan berlalu begitu sahaja.

Ini kerana ganjaran pahala yang besar menanti kepada mukmin yang melaksanakan amalan hasanah mengikut sunah.

Berdasarkan sabda Nabi SAW terbabit memberikan kita pengertian bahawa Syaaban sepatutnya menjadi titik mula untuk kita menjernihkan segala kekusutan kehidupan bermasyarakat.

Mungkin sebelum ini kita pernah bergaduh, bermasam muka dengan sesiapa. Mungkin kita sudah melakukan banyak perbuatan mazmumah seperti menghina orang lain, iri dengki dan sebagainya yang menyinggung perasaan orang.

Maka Syaaban khususnya kedatangan Malam Nisfu Syaaban, jadikan Syaaban bulan membersihkan hati daripada sifat yang keji, sekali gus memupuk jiwa bersaudara sesama muslim.

Selain amalan berpuasa, kita juga dianjurkan supaya mengaktifkan gerak kerja amalan hasanah yang lain sebagai mengambil berkat Syaaban ini.

Antaranya ialah bertaubat, berdoa dan memperbanyakkan bacaan selawat.

Demikian juga dengan amalan bersedekah. Jangan mengunggu pada Ramadan sahaja, tangan kita menjadi ‘ringan’ untuk bersedekah kerana ingin merebut fadilat Ramadan yang penuh berkat itu.

Apa salahnya perbuatan bersedekah itu kita lakukan juga pada bulan lain seperti pada Syaaban ini.

Ingat apa yang Rasulullah SAW pesankan dalam riwayat hadis tadi bahawa amalan kita akan diangkat kepada Allah dalam bulan ini.

Jadi, biarkan yang diangkat itu termasuk juga amalan bersedekah yang kita lakukan.

Alangkah beruntungnya kita apa yang kita ‘persembahkan’ kepada Allah merupakan amalan hasanah.

Kegiatan agama di masjid dan surau juga perlu dirancakkan sebagaimana kita aktifkannya ketika berada di bulan Ramadan.

Aktiviti tazkirah berkaitan kelebihan Syaaban seharusnya menjadi agenda utama.

Begitu juga dengan amalan membaca Al-Quran. Jadi, barulah Syaaban itu betul-betul menjadi landasan persediaan sebelum menyambut ketibaan Ramadan nanti.

Sudah menjadi kebiasaan dan menjadi amalan lazim masyarakat kita menunggu bulan Ramadan sahaja untuk menjadi mukmin ‘bersemangat’ dalam memeriahkan masjid dan surau dan begitu cintakan al-Quran.

Jadi, alangkah eloknya kita membuat persiapan awal dengan jadikan Syaaban sebagai warming-up kepada amalan hasanah mengikut sunah semasa bulan Syaaban seakan-akan kita telahpun berada di bulan Ramadan.

Usah kerana hati lebih merindui Ramadan, membuatkan kita mensia-sia kehadiran syaaban.

Ini bulan terbaik untuk melakukan persediaan terakhir sebelum kita berpuasa di bulan Ramadan.

Jadi, puasa sunat pada Syaaban adalah pentas praktikal berefektif untuk memperkukuhkan semangat dan keinginan untuk beribadah kepada Allah.

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk meningkatkan ibadah di bulan Syaban dan mempersiapkan hati kami menyambut Ramadan

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *