Empati terhadap musibah menimpa saudara seakidah

Prof Madya Dr Azri Bhari

 

DUNIA termasuk Malaysia kini semakin memuncak mengecam susulan serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu yang mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan lagi.

Sekali gus serangan itu mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Zionis-Israel berkuat kuasa pada 19 Januari lalu dengan tempoh selama 42 hari.

Sejak Oktober 2023, kempen ketenteraan Zionis-Israel di Gaza sudah mengorbankan lebih 48,500 rakyat Palestin yang majoritinya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 112,000 yang lain.

Sebenarnya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sudah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Seterusnya, Israel juga turut berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang di wilayah Palestin.

Rentetan kebiadaban dan pencabulan yang telah dilakukan rejim Zionis-Israel ke atas rakyat Palestin, masyarakat Islam boleh melaksanakan beberapa usaha dan tindakan murni.

Pertama, menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin. Masyarakat Islam perlu peduli dan prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara seakidah di bumi Palestin serta bersikap empati terhadap musibah dan kezaliman yang menimpa.

Antara sifat orang Mukmin yang dinyatakan oleh Nabi SAW ketika saudara seakidah ditimpa musibah adalah seluruh orang Islam juga terkesan dengan penderitaan yang dialami.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, kecintaan dan simpati seperti tubuh badan yang satu iaitu apabila salah satu anggota badan berasa sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan ditimpa demam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, sokongan melalui usaha spiritual dan kerohanian. Doa adalah salah satu bentuk dukungan kerohanian yang paling utama dalam Islam. Doa juga adalah senjata yang ampuh bagi umat Islam sebagaimana yang disebutkan dalam banyak kisah Nabi dan orang soleh.

Sejarah sudah merakamkan kisah Nabi Ibrahim AS yang berdoa ketika hendak dibakar dalam api dengan doa yang bermaksud: “Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).” (Riwayat al-Bukhari)

Lantas, Allah SWT memperkenankan doa Nabi Ibrahim AS itu yang digambarkan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Kami berfirman: ‘Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).’” (Surah al-Anbiya’: 69-70)

Masyarakat Islam boleh memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan, keselamatan daripada kekejaman dan kemenangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebebasan serta keadilan dalam konteks Palestin.

Selain itu, masyarakat Islam boleh juga melakukan secara individu atau kolektif amalan solat hajat, bacaan qunut nazilah dan seumpamanya dalam usaha melaksanakan amalan berbentuk kerohanian.

Ketiga, menyumbang dalam bentuk kewangan sebagai misi bantuan kemanusiaan. Kewangan adalah faktor penting dalam membekalkan rawatan, makanan dan membangunkan sesebuah negara.

Masyarakat Islam perlu saling bersatu dalam membantu untuk misi bantuan kemanusiaan melalui memberi sumbangan kewangan kepada rakyat Palestin yang berada dalam serba kekurangan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mana hamba tersebut membantu saudaranya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kaum ‘al-Asy’ariyyin’, apabila mereka kekurangan makanan untuk keluarga mereka di medan perang atau di Madinah, mereka akan mengumpulkan apa sahaja yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka akan membahagikan makanan itu secara sama rata antara mereka dalam satu bekas. Sesungguhnya mereka adalah daripada aku dan aku adalah daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas menjelaskan bahawa digalakkan menubuhkan tabung atau dana takaful bagi mengumpul sumbangan kewangan untuk rakyat Palestin yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan secepat mungkin.

Oleh itu, masyarakat Islam di luar Palestin perlu menghantar pelbagai bentuk bantuan seperti bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan, pemulihan hospital, katil pesakit, ambulan, tempat tinggal sementara, pakaian musim sejuk serta bekalan tenaga, elektrik dan air bersih yang perlu diutamakan dan disegerakan untuk meringankan penderitaan.

Demikian tindakan pantas yang boleh diusahakan dan dilakukan oleh seluruh masyarakat Islam terhadap kebiadaban, kekejaman dan kezaliman jenayah genosid yang sudah dilakukan Zionis-Israel terhadap umat Islam di bumi Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *