Bersama Syamilah Heng Kamal Koh

 

Sistem pendidikan hari ini sudah menggadaikan kepentingan makna dan tujuan dalam menuntut ilmu serta menggantikannya dengan matlamat yang sempit. Kritikan ini telah lama dikemukakan oleh Neil Postman, seorang ahli falsafah pendidikan lebih 40 tahun lalu.

Misalnya, dalam Teaching as a Subversive Activity, Postman mengkritik bagaimana pendidikan dipolitikkan sehingga melahirkan budaya obsesi terhadap pembaharuan yang bersifat kosmetik dan tidak menyentuh akar masalah. Beliau mencadangkan sebuah model pendidikan baharu yang menekankan pemikiran kritis dan keupayaan mengesan ‘sampah’ (crap-detecting), agar pelajar dapat memahami realiti dan tidak bersikap seperti lembu dicucuk hidung.

Postman juga memberikan amaran bahawa unsur ‘hiburan’ sudah menjadi latar pendidikan secara berlebihan sehingga pendidikan yang serius dan berat dikesampingkan. Pelajar tidak lagi dikerah untuk mendalami makna, tetapi dihiburkan dengan maklumat yang tidak semestinya bermakna bagi mereka.

Pemerhatian Postman masih ada kebenarannya jika diteliti konteks institusi pendidikan mutakhir khususnya universiti yang bertujuan memenuhi tuntutan ekonomi dan industri termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan, tetapi tidak dikelola oleh apa-apa matlamat yang lebih luhur.

Sememangnya, tujuan ini mustahak, namun jauh sekali berbeza dengan falsafah hakiki bagi pendidikan seperti yang digagaskan oleh para cendekiawan baik dalam tradisi Islam mahupun Barat.

 

Pada asasnya, tujuan pertama dan utama pendidikan adalah membina peribadi insan. Kemudian barulah kepentingan menyumbang kepada masyarakat menyusul. Umpama pohon yang perlu mengakar dengan kukuh terlebih dahulu sebelum batang, dahan dan buah boleh tumbuh dengan sihat. Bahkan, sememangnya pembinaan sahsiah sepatutnya mencirikan sebahagian besar proses menuntut ilmu.

Ilmu hanya akan berperanan sedemikian jika menjadi bermakna buat pemiliknya. Hanya ilmu yang sebati dengan jiwa pemiliknya akan membentuk pandangan hidup dan keperibadiannya.

Menurut Profesor Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas, ilmu ialah ketibaan makna ke dalam diri atau ketibaan diri kepada makna sehingga ilmu itu bersebati dengan diri seseorang.

Menurut al-Attas lagi, makna pula merujuk kepada letak duduk hakiki sesuatu dalam tatanan hubungan yang lebih besar. Jika kita memahami makna bagi setiap sesuatu, maka kita memahami letak duduk sesuatu itu dalam kehidupan dan peranan hakikinya.

Atas dasar itu, misalnya, ilmu tentang sifat Allah tidak hanya menambah maklumat tentang Tuhan, tetapi membolehkan seseorang memaknai kedudukan Allah berhubungan dirinya. Lebih mendalam ilmu seseorang tentang Allah, lebih jelas kedudukan Tuhan dalam kehidupannya dimaknai, dan justeru lebih kukuh kesedarannya sebagai hamba (habl minallah).

Menurut Ibn Abbas, tujuan utama penciptaan manusia dalam frasa ‘untuk beribadah kepada-Ku’ pada ayat 56 Surah al-Dhariyat bermaksud ‘untuk mengenali-Ku’. Jelas di sini bahawa mengenal Tuhan itu menjadi prasyarat bagi ibadah hakiki, dan inilah makna sebenar pengabdian (ubudiyyah).

Demikian juga halnya jika seseorang itu memiliki ilmu tentang dirinya sendiri. Dengan memahami sifat diri, potensi, batasan dan persekitarannya, seseorang itu berupaya untuk memaknai letak duduk diri yang selayaknya dalam segenap aspek kehidupan baik di dalam rumah, masyarakat, negara, dunia dan bahkan seluruh alam. Aspek ini pula mencerminkan sisi kemanusiaan (habl min al-nas) dalam makna ubudiyyah.

Malah, konsep makna juga tidak terbatas hanya kepada ilmu tentang diri dan Tuhan. Sebaliknya, ilmu tentang apa sahaja sama ada sains, matematik, agama, sosial, dan lainnya membolehkan si pemilik ilmu memaknai letak duduk objek ilmu masing-masing. Demikianlah bagaimana meluas dan mendalamnya kepentingan peranan makna dalam proses menuntut ilmu.

Di sinilah lahirnya kegelisahan moden. Menurut Postman, kebanjiran maklumat (information glut) melumpuhkan kita daripada meraih kebahagiaan sebenar kerana sebahagian besar maklumat yang berlambak di sana sini tidak menawarkan makna yang signifikan buat hidup kita.

Justeru, pendidikan yang menyebatikan makna ke dalam diri penuntut ilmu bukan sahaja membolehkan mereka untuk mengenal pasti kelebihan dan kemampuan diri, tetapi juga menyedari batasan serta kekurangan masing-masing. Walhasil, mereka tahu sekadar mana manfaat yang mampu disumbangkan kepada masyarakat serta pada masa sama sedar lantas tidak menggalas tanggungjawab tidak selayaknya mereka pikul.

Bukan itu sahaja, ilmu yang bermakna juga meleraikan kekeliruan dalam diri, memperjelas tujuan hidup serta memperkukuh azam untuk terus menjadi insan bermanfaat untuk diri sendiri dan orang sekeliling.

Sehubungan itu, dalam konteks Malaysia, kita melihat kesedaran terhadap kemustahakan makna dalam ilmu mula diterjemahkan oleh kepimpinan yang memuliakan ahli ilmu yang tulen.

 

Kepemimpinan yang menghormati ilmu inilah yang sewajarnya menggerakkan para pendidik dan pelajar untuk menyerap semangat serta membina jiwa yang sama sekali gus menghidupkan kembali nilai dan peranan ilmu yang bermakna dalam realiti hari ini sebagai identiti serta hala tuju negara.

Akhir kalam, marilah kita renungkan galakan Rasulullah untuk mencari ilmu dengan makna yang sebenar: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu maka Tuhan akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Riwayat Muslim)

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *