Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Setiap kali tibanya Ramadan, bulan sering digelar sebagai Syahr al-Quran, umat Islam di seluruh dunia kembali mendekatkan diri dengan kitab suci yang menjadi panduan hidup sepanjang zaman iaitu al-Quran.
Namun, dalam realiti masyarakat hari ini, ketika sebahagian umat Islam berusaha menghidupkan al-Quran melalui tilawah dan tadarus, kita juga dikejutkan dengan pelbagai insiden penghinaan terhadap kesucian al-Quran oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan mencari populariti murahan hingga mengundang padah.
Mengapa kitab ini begitu ditentang sejak dahulu hingga kini? Hakikatnya, al-Quran bukan sekadar kitab bacaan ritual, tetapi mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman hidup manusia hingga ke hari kiamat. Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Hijr ayat 9: “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”
Ayat ini menjadi jaminan Ilahi bahawa al-Quran berbeza daripada kitab samawi terdahulu seperti Taurat, Zabur dan Injil yang mengalami perubahan serta penyelewengan oleh tangan manusia. Al-Quran kekal terpelihara dalam bentuk asalnya, baik daripada segi lafaz mahupun makna melalui hafazan jutaan umat Islam di seluruh dunia sejak lebih 1,400 tahun lalu. Inilah keistimewaan utama yang tidak dimiliki oleh mana-mana kitab suci lain.
Keagungan al-Quran juga tidak dapat dipisahkan daripada hakikat bahawa ia mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Perkataan mukjizat berasal daripada bahasa Arab iaitu daripada kata dasar ‘a’jaza’ yang membawa maksud melemahkan atau menjadikan seseorang tidak mampu melakukan sesuatu. Daripada sudut bahasa, mukjizat merujuk kepada sesuatu perkara luar biasa yang menyebabkan pihak lawan menjadi lemah dan tidak berdaya untuk menandinginya.
Daripada sudut istilah syarak, mukjizat ditakrifkan sebagai perkara luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada nabi dan rasul sebagai bukti kebenaran risalah mereka serta tidak mampu ditandingi oleh manusia walaupun mereka berusaha sedaya upaya.
Dalam konteks al-Quran, mukjizatnya bukan bersifat fizikal seperti tongkat Nabi Musa AS yang membelah laut atau mukjizat penyembuhan Nabi Isa AS, tetapi mukjizatnya kekal sepanjang zaman melalui keindahan bahasa, ketepatan fakta serta kesempurnaan sistem kehidupan yang dibawanya.
Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya: “Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berhimpun untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun mereka saling membantu antara satu sama lain.” (Surah al-Isra’: 88)
Ayat ini menjadi dalil jelas bahawa al-Quran mukjizat yang bersifat i’jaz (melemahkan), kerana mencabar seluruh manusia dan jin untuk mendatangkan sesuatu yang setanding dengannya namun cabaran tersebut tetap gagal disahut sejak lebih 14 abad yang lalu. Bahkan cabaran itu diperingkatkan oleh Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 38 dengan meminta didatangkan hanya satu surah seumpamanya, tetapi usaha itu tetap menemui kegagalan.
Hadis ini menunjukkan bahawa mukjizat al-Quran berbeza daripada mukjizat nabi terdahulu kerana ia bersifat intelektual dan spiritual yang kekal relevan sepanjang zaman. Justeru, memahami konsep mukjizat al-Quran bukan sekadar mengetahui keajaibannya, tetapi menyedari bahawa ketidakmampuan manusia menandinginya adalah bukti nyata ia datang daripada sumber Ilahi, bukan ciptaan manusia.
Daripada sudut bahasa dan sastera pula, al-Quran karya agung yang berada di luar kemampuan manusia untuk menandinginya. Cabaran Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 23 jelas membuktikan kemukjizatannya: “Dan jika kamu ragu-ragu terhadap apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), datangkanlah satu surah yang seumpamanya…”
Sehingga kini, tiada seorang pun ahli bahasa Arab, penyair mahupun sasterawan yang mampu menghasilkan walaupun satu surah yang setanding dengan keindahan susunan ayat al-Quran. Keunikan gaya bahasa al-Quran terletak pada unsur balaghah yang tinggi seperti penggunaan metafora (isti’arah), perumpamaan (tashbih), pengulangan retorik, keseimbangan struktur ayat serta ketepatan pemilihan diksi yang menepati konteks makna.
Malah, setiap huruf dan kalimah dalam al-Quran mempunyai fungsi semantik yang mendalam dan tidak bersifat kebetulan. Sebagai contoh, firman Allah dalam Surah az-Zumar ayat 23: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, yang menggigil kerananya kulit orang yang takut kepada Tuhan mereka…”
Ayat ini menunjukkan kesan psikologi dan spiritual al-Quran terhadap jiwa manusia yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana karya sastera manusia. Bahkan dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam konteks semasa, penghinaan terhadap al-Quran bukanlah sekadar serangan fizikal terhadap mushaf, tetapi juga serangan intelektual melalui tafsiran yang salah, penyebaran maklumat palsu atau penggunaan ayat al-Quran di luar konteks sebenar. Lebih membimbangkan apabila sebahagian umat Islam sendiri mengambil rujukan agama daripada sumber tidak sahih di media sosial tanpa merujuk kepada al-Quran, hadis sahih serta pandangan ulama muktabar. Fenomena ini boleh membawa kepada salah faham terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Oleh itu, pendekatan tadabbur al-Quran amat penting dalam memastikan kita memahami mesej ilahi secara menyeluruh. Allah SWT berfirman dalam Surah Sad ayat 29: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka mentadabburi ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang berakal.”
Tadabbur bukan sekadar membaca, tetapi melibatkan proses memahami, menghayati dan mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Dalam dunia moden yang penuh cabaran seperti tekanan kerja, krisis moral dan kecelaruan identiti, al-Quran menawarkan penyelesaian holistik yang merangkumi aspek spiritual, sosial dan intelektual.
Sebagai seorang pendidik bahasa Arab, penulis melihat sendiri bagaimana generasi muda semakin terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat yang tidak ditapis. Justeru, Ramadan perlu dijadikan medan terbaik untuk memperkukuhkan hubungan dengan al-Quran melalui pengajian tafsir, halaqah tadabbur serta penghayatan sunah Rasulullah SAW. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus…”
Kesimpulannya, keagungan al-Quran terletak bukan sahaja pada keindahan bahasanya, tetapi juga pada kesempurnaan panduan hidup yang dibawanya. Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk penghinaan terhadap kesuciannya, umat Islam perlu kembali menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dalam setiap aspek kehidupan.
Ramadan bukan sekadar bulan untuk mengkhatamkan bacaan, tetapi peluang untuk mentransformasikan diri melalui penghayatan wahyu Ilahi. Hanya dengan memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh, kita mampu membina masyarakat yang berilmu, berakhlak serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran zaman. Semoga kita tergolong dalam kalangan ahli al-Quran yang sentiasa menjadikan kitab suci ini sebagai teman setia dalam setiap langkah kehidupan.
