Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Allah SWT mengingatkan umat Islam dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”.
Ramadan sebagai bulan ketakwaan bakal meninggalkan kita dengan penuh kenangan terindah. Pastinya telah banyak amal ibadah yang kita lakukan sepanjang tempoh berpuasa selama sebulan. Ada di antara umat Islam yang berjaya menghabiskan masa mereka dengan memperbanyakkan istighfar. Tidak kurang juga yang memenuhi hari-hari mereka dengan membaca al-Quran. Selain itu, ada juga golongan yang menghiasi malam hari mereka dengan qiamullail dan macam-macam lagi. Semua usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh bagi mendapat ganjaran pahala dan keampunan daripada Allah SWT. Perkara ini turut dijelaskan oleh baginda Nabi SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: “Apabila tibanya bulan Ramadan, nescaya pintu syurga terbuka luas manakala pintu neraka ditutupnya dengan rapat dan semua syaitan dibelenggu”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Malangnya, kehadiran Syawal menyebabkan segala kenangan terindah pada Ramadan dicemari dengan perbuatan maksiat. Apa tidaknya? Cara kita menyambut hari lebaran dan kemenangan langsung tidak menepati kehendak syariat Islam. Sepatutnya dengan kehadiran Syawal, umat Islam semakin bersemangat untuk meneruskan pesta ibadah yang selama ini dipelajari daripada madrasah Ramadan.
Sebagai langkah mengekalkan ketakwaan yang telah dijana ketika Ramadan, tidak dapat tidak semua daripada kita bertanggungjawab mencari jalan untuk meneruskan ketakwaan di samping bergembira menyambut keriangan hari raya.
Sehubungan itu, Islam menetapkan 10 adab untuk umat Islam ketika menyambut Syawal agar mereka tidak tersasar daripada landasan syariat. Antara garis panduan yang perlu diambil perhatian ialah:
1. Pastikan zakat fitrah untuk diri sendiri dan keluarga di bawah tanggungan ditunaikan sepenuhnya. Ramai juga dalam kalangan masyarakat Islam mengabaikan tanggungjawab penting ini kerana terlalu ghairah dengan sambutan hari raya. Ingatlah zakat tanggungjawab kepada semua mereka yang berkemampuan kepada golongan asnaf zakat. Jika tanggungjawab ini sengaja diabaikan maka di akhirat kelak mereka akan dipersoalkan dan dikira sebagai golongan yang berhutang. Imam Shafii berpendapat, mereka yang tidak membayar zakat termasuk dalam kalangan akan dikerumuni oleh golongan fakir miskin di Padang Mahsyar kelak bagi menuntut hutang zakat yang sepatutnya diberikan kepada mereka ketika di dunia.
2. Pastikan tiada pembaziran berlaku ketika berbelanja untuk menyambut kemeriahan Syawal. Ramadan mengajar umat Islam supaya berjimat- cermat dan tidak membazir dengan makanan serta juadah yang berlebihan ketika berbuka. Malangnya, semua didikan itu tidak diteruskan apabila menjelangnya Syawal. Pembaziran yang dimaksudkan itu berlaku dalam banyak aspek kehidupan seperti pakaian, juadah, kuih raya, dan perhiasan rumah.
Semua itu dibeli secara berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Ada pula dalam kalangan umat Islam yang membelinya dengan nilaian melebihi kemampuan dan akhirnya mengakibatkan bebanan hutang meningkat. Tidakkah perbuatan sedemikian dikira sebagai mudarat dan kemungkaran yang diharamkan? Jawapannya ialah benar. Ini kerana Nabi SAW bersabda: “Jangan memudaratkan diri kamu dan orang lain”. (Riwayat Ibn Majah)
3. Pastikan fesyen pakaian yang akan diperagakan pada Aidilfitri menepati kehendak syariat Islam seperti tidak ketat, tidak seksi dan menutup aurat. Perkara dijelaskan Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 30 hingga 31.
4. Pastikan hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram terpelihara. Pada hari ini ramai juga dalam kalangan umat Islam yang tidak peka terhadap perkara ini. Mereka beranggapan bersalaman antara bukan mahram hanya dilarang ketika seseorang itu ada wuduk manakala ketika waktu keraian ia dibenarkan. Ini adalah satu pemahaman yang salah dan tidak menepati kehendak syarak. Oleh itu, sebagai memelihara pahala puasa agar tidak berlalu begitu sahaja, dinasihatkan supaya semua daripada kita menjaga hubungan dan pergaulan antara lelaki dengan perempuan ketika menyambut hari lebaran.
5. Pastikan makanan yang diambil pada hari raya tidak berlebih-lebihan sehingga memudaratkan semua pihak. Tidak dinafikan hari lebaran adalah hari untuk umat Islam bergembira setelah sebulan menjalani ibadah puasa. Namun begitu, janganlah pula dijadikan Syawal sebagai bulan pembaziran makanan dan menjana penyakit. Nabi SAW mengajar kita supaya sederhana dalam semua perkara termasuk dalam konteks meraikan hari lebaran dengan menghadiri rumah terbuka dan sebagainya. Bagi mereka yang ingin menjamu tetamu pada hari lebaran, pastikan membuatnya mengikut kemampuan. Begitulah juga bagi mereka yang datang bertandang ke rumah sahabat handai, dinasihatkan mengambil makanan mengikut kemampuan tanpa menzalimi tuan rumah dengan pelbagai jenis pembaziran.
6. Pastikan kebajikan terhadap ibu bapa ditunaikan sebaik mungkin. Ada dalam kalangan umat Islam begitu ghairah membeli-belah untuk keperluan diri sendiri sebagai persiapan menyambut hari raya. Namun, dalam keghairahan itu, mereka lupa terhadap kebajikan ibu bapa seperti keperluan dapur, dan keperluan raya. Perlu diingatkan keberkatan hidup ini adalah bermula daripada doa ibu bapa yang sentiasa mengiringi kita. Justeru, sebelum kita memenuhi keperluan peribadi kita, ada baiknya jika keperluan ibu bapa dipenuhi terlebih dahulu.
7. Pastikan anak dididik agar menghormati keluarga dan orang dewasa dengan mengamalkan ziarah ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga.
8. Pastikan tiada sifat kedekut untuk menjamu tetamu yang bertandang ke rumah kita untuk berhari raya. Anggaplah makanan yang dihidangkan untuk sahabat handai dan duit raya kepada anak mereka sebagai amal jariah yang pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT di akhirat kelak.
9. Pastikan sifat dendam dihapuskan dan semarakkan. sifat bermaaf-maafan antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan Ramadan dan Syawal sebagai bulan barakah. Mana tidaknya? Setiap kali Syawal menjelang, akan ada pelbagai jenis kisah benar yang memaparkan dua orang yang bersengketa akhirnya berbaik kembali.
10. Pastikan puasa sunat enam pada Syawal ditunaikan dengan sebaik mungkin. Tidak dinafikan, dalam suasana sibuk menerima jemputan rumah terbuka akan ada di kalangan umat Islam yang terlepas pandang terhadap puasa sunat enam hari pada Syawal. Walaupun ia bukanlah satu arahan atau kewajipan, tetapi anggaplah ia satu sunah yang perlu dipenuhi kerana ia ibadah yang tidak pernah ditinggalkan oleh baginda Nabi SAW. Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk menyusun masa bagi memberi ruang kepada puasa sunat enam yang hanya datang setahun sekali.
Sepuluh perkara di atas, jika diikuti dan diamalkan sepenuhnya, insya-Allah puasa yang dilakukan selama sebulan Ramadan akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Bukan setakat itu sahaja, pahala itu juga akan semakin berganda apabila segala jenis ibadah yang dipelajari daripada madrasah Ramadan dapat diteruskan secara konsisten pada bulan berikut khususnya pada Syawal yang penuh dengan ujian dan dugaan nafsu.
