Dr Mohd. Khafidz Soroni

 

Pada siri lalu dijelaskan bahawa pengetahuan mengenai tanda-tanda hari kiamat merupakan satu rukun daripada empat rukun ad-Din (agama Islam).

Rukun ini turut mempunyai perbahasan yang agak cukup panjang dan begitu terperinci.

Ini kerana tidak ada satu peristiwa atau kejadian pun yang akan berlaku sehingga tiba hari kiamat melainkan semuanya sudah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW dan diriwayatkan oleh sahabat RA.

Justeru, banyak kitab yang sudah disusun oleh ulama bagi mengumpulkan dan menerangkannya secara lebih tersusun.

Antara hadis yang menggambarkan perinciannya, hadis Abu Sa’id al-Khudri RA katanya: “Pada suatu hari, Rasulullah SAW pernah bersolat Asar bersama kami di siang hari, setelah itu baginda pun bangun berkhutbah. Lalu, baginda tidak meninggalkan suatu perkara pun yang akan berlaku sehingga tiba hari kiamat melainkan baginda memberitakannya kepada kami. Maka, sesiapa yang mengingatinya dia pasti ingat dan sesiapa yang melupakannya pula dia pasti lupa.” Di hujung hadis yang panjang ini, Abu Sa’id al-Khudri berkata: “Hingga kami berpaling melihat matahari, adakah masih ada yang berbaki daripadanya (kerana ia hampir tenggelam). Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya tidak berbaki lagi daripada dunia ini berbanding tempoh yang telah berlalu kecuali seperti mana berbakinya hari kamu sekalian yang masih ada ini berbanding waktu yang telah berlalu.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

 

Kemudian at-Tirmizi berkata: “Dalam bab yang sama ada hadis daripada Huzaifah RA, Abu Zaid bin Akhtab RA, Abu Maryam RA dan al-Mughirah bin Syu’bah RA, mereka mengatakan bahawa Nabi SAW telah memberitakan kepada mereka perkara yang akan terjadi sehinggalah berlakunya hari kiamat.” (Riwayat at-Tirmizi)

Hadis Huzaifah RA berbunyi: “Rasulullah SAW pernah berdiri di hadapan kami begitu lama. Baginda tidak meninggalkan sedikit pun perkara yang akan berlaku, sewaktu baginda berdiri itu, sehinggalah terjadinya hari kiamat melainkan baginda akan memberitakannya. Maka, sesiapa yang mengingatinya dia pasti ingat dan sesiapa yang melupakannya pula dia pasti lupa. Sesungguhnya para sahabatku juga mengetahuinya. Dan sesungguhnya pasti akan berlaku sebahagian daripadanya yang mungkin telah aku lupai. Namun, apabila aku melihatnya aku akan segera mengingatinya semula seperti seseorang mengingati wajah seseorang yang lain tatkala ia lama menghilang, kemudian apabila dia melihatnya semula, dia pun segera mengenalinya.” (Riwayat Muslim)

Manakala hadis Abu Zaid bin Akhtab RA agak sedikit berbeza, iaitu: “Rasulullah SAW pernah bersolat Subuh bersama kami, lalu baginda naik ke atas mimbar, lantas baginda berkhutbah sehingga tiba waktu Zuhur, lalu baginda turun dan bersolat. Kemudian baginda naik mimbar lagi, lalu berkhutbah sehingga tiba waktu Asar, kemudian baginda turun dan bersolat. Setelah itu, baginda naik mimbar lagi, lalu berkhutbah sehingga matahari terbenam. Baginda memberitakan kepada kami perkara yang telah terjadi dan juga perkara yang akan terjadi. Maka, orang yang paling tahu di antara kami adalah orang yang paling ingat.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis Abu Zaid RA ini dinyatakan khutbah bermula selepas solat Subuh, sedangkan dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri RA disebut selepas solat asar.

Namun, boleh jadi hadis Abu Zaid ini merujuk kepada permulaan khutbah yang dimulai dengan awal penciptaan makhluk dan perkara yang telah berlaku, sedangkan hadis Abu Sa’id al-Khudri pula merujuk kepada sambungannya iaitu perkhabaran mengenai perkara yang akan berlaku sehingga hari kiamat.

Manakala hadis Abu Maryam RA dan al-Mughirah bin Syu’bah RA yang diisyaratkan oleh at-Tirmizi belum dapat ditemukan sumber asalnya.

Namun, beliau mungkin lupa mengisyaratkan hadis ‘Umar bin al-Khattab RA iaitu katanya: “Nabi SAW pernah berdiri di hadapan kami begitu lama, lalu baginda mengkhabarkan kepada kami tentang awal penciptaan makhluk sehingga sampai pada masuknya ahli syurga ke tempat tinggal abadi mereka dan masuknya ahli neraka ke tempat tinggal abadi mereka. Maka, sesiapa yang mengingati hal itu dia pasti ingat dan sesiapa yang melupakannya pula dia pasti lupa.” (Riwayat al-Bukhari)

Semua riwayat ini menunjukkan satu mukjizat ilmu luar biasa yang dikurniakan kepada Nabi SAW serta menunjukkan kesungguhan baginda menjalankan tugasnya sebagai utusan Allah SWT menyampaikan segala yang diwahyukan dan dibenarkan perkhabarannya kepada umat manusia.

Sewajarnya kita yang hidup di akhir zaman ini bertambah lebih yakin terhadap kemukjizatan baginda SAW disebabkan banyaknya tanda kiamat yang dikhabarkan itu benar-benar berlaku secara realiti, sekali gus membenarkan segala apa yang disabdakan.

By al-bakriah.com

Pondok Pasir Tumboh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *