Dr Muhammad Fahmi Md Ramzan
Saban tahun kita merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Sudah tentu kita perlu raikannya dengan penuh rasa kesyukuran kerana hanya dengan rahmat Allah Taala kita terbebas daripada kolonialisme fizik kaum penjajah.
Namun, di sebalik kemeriahan dalam menyambut ulang tahun hari bersejarah terbabit, ada baiknya kita merenungi hakikat di sebalik makna kemerdekaan supaya ia tidak sekadar menjadi acara tahunan yang disulami laungan kata merdeka semata-mata.
Apabila ditinjau keterangan ayat al-Quran, sudah digambarkan pelbagai kisah generasi terdahulu yang dapat memberikan inspirasi dan dijadikan pedoman untuk direnungi akan hakikat kemerdekaan sebenar.
Antaranya ialah kisah Nabi Ibrahim AS tatkala beliau berusaha membebaskan dirinya daripada kehidupan bangsanya yang sesat. Dalam surah al-An’am, ayat 76-79, dikisahkan perjuangan beliau dalam proses mencari dan mengenal Tuhan. Perjalanan spiritual terbabit adalah usaha Nabi Ibrahim dalam membebaskan dirinya daripada orientasi hidup yang keliru, yang ketika itu tumbuh subur dalam masyarakatnya.
Hakikat kemerdekaan juga dapat dipetik dari kisah Nabi Musa AS ketika berusaha membebaskan bangsanya, Bani Israil daripada penindasan Firaun. Kekejaman rejim Firaun terhadap Bani Israil dikisahkan dalam banyak ayat al-Quran, antaranya surah al-Baqarah, ayat 49; Surah al-A’raf, ayat 127; dan Surah Ibrahim, ayat 6.
Rejim Firaun adalah gambaran komuniti yang menyombongkan diri dan seolah-olah paling berkuasa di muka bumi. Mereka tanpa belas kasihan membunuh dan memperhamba lelaki Bani Israil dan menistakan perempuannya.
Keangkuhan dan kezaliman rejim Firaun mendorong Nabi Musa memimpin bangsanya untuk memperoleh kembali kemuliaan dan martabat mereka sebagai manusia.
Selain itu, hakikat kemerdekaan juga dapat ditelusuri melalui kisah kejayaan Nabi Muhammad dalam mengembangkan risalah Islam di muka bumi. Ketika diutus 14 abad silam, beliau menghadapi kelompok masyarakat yang mengalami tiga penjajahan sekali gus iaitu hidup yang tiada hala tuju, penindasan ekonomi dan kezaliman sosial.
Hidup yang tiada hala tuju digambarkan melalui penyembahan patung berhala oleh kaum Quraisy. Rasulullah berjuang mengajarkan kepada umat manusia supaya hanya menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan sesembahan nenek moyang mereka. Hal terbabit dirakamkan dalam Surah Yusuf, ayat 108; Surah Luqman, ayat 13; Surah adz-Dzariyat, ayat 56; dan Surah al-Jumuah, ayat 2.
Penindasan ekonomi diisyaratkan al-Quran sesuatu yang menjadikan kekayaan hanya berputar pada kelompok tertentu, seperti disebutkan pada Surah al-Hasyr, ayat 7.
Rasulullah SAW mengkritik golongan yang gemar mengumpulkan dan menghimpunkan harta tanpa mempedulikan keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Ciri-ciri golongan terbabit disebutkan dalam al-Quran melalui surah al-Humazah, ayat 1-4 dan surah al-Ma’un, ayat2-3.
Manakala dari sudut kezaliman sosial pula terpancar melalui tindakan kaum Quraisy di zaman jahiliyah yang mengamalkan sistem perhambaan, semangat assabiyah, diskriminasi dalam masyarakat, wanita dan hamba dianggap paling hina bahkan bertindak kejam menanam bayi perempuan hidup-hidup.
Rasulullah SAW hadir dengan mempromosikan pembebasan hamba, memuliakan wanita dan kesedarjatan bangsa-bangsa. Dalam khutbah terakhirnya di Arafah ketika haji Wada’, beliau menegaskan bahawa tidak ada perbezaan antara orang kulit hitam dan kulit putih serta di antara orang Arab dan bukan Arab, melainkan ketakwaannya – (Musnad Aḥmad, no. 22391). Konteks yang sama juga terangkum dalam surah al-Hujurat, ayat 13.
Berdasarkan paparan kisah terbabit, jelas bahawa misi kemerdekaan yang dibawa oleh nabi bukan sahaja membebaskan umat manusia daripada penghambaan sesama manusia, bahkan jauh daripada itu membebaskan umat manusia daripada segala bentuk penghambaan kepada selain Allah.
Misi ini pernah dinyatakan dalam surat yang dikirimkan oleh Rasulullah kepada penduduk Najran seperti mana direkodkan oleh Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah wa an-Nihayah. Antara isi surat tersebut ialah: “Aku menyeru kalian untuk menghambakan diri kepada Allah dan meninggalkan penghambaan kepada sesama hamba (manusia). Aku pun menyeru kalian agar berada dalam kekuasaan Allah dan membebaskan diri daripada penguasaan oleh sesama hamba (manusia).”
Misi ini juga pernah diungkapkan oleh Rib’i bin ‘Amir yang diutus oleh panglima Saad bin Abi Waqqas RA untuk mengadakan rundingan bilateral dengan panglima Parsi, Rustum seperti dicatat oleh Imam at-Tabari dalam kitab Tarikh al-Umam wa al-Muluk.
Rib’i bin ‘Amir berkata kepada Rustum: “Kami (umat Islam) diutus oleh Allah untuk mengeluarkan manusia dari penghambaan kepada sesama hamba (sesama manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah; dari kesempitan dunia menuju kelapangannya; dan dari kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam…”
Berdasarkan kenyataan terbabit, dapat difahami bahawa Islam memandang kemerdekaan tidak hanya melalui satu sisi, melainkan dari beberapa sisi yang mencakupi aspek lahiriyah mahupun batiniyah, sehingga hakikat kemerdekaan yang sesungguhnya ialah ketika seseorang mampu berada dalam fitrahnya.
Oleh itu, setiap individu Muslim perlu cakna akan hakikat kemerdekaan sebenar iaitu bebas daripada kesyirikan dan dinamika kehidupan yang tidak berlandaskan aturan yang sudah ditetapkan.
Seseorang Muslim juga dapat menemui hakikat kemerdekaan yang sebenar apabila mampu membebaskan diri daripada segala belenggu yang berasal dari godaan syaitan dan hawa nafsu. Orang yang terjerat oleh hawa nafsu hakikatnya sudah menjadi hamba nafsu. Justeru, memerdekakan diri daripada belenggu hawa nafsu adalah kemenangan dan kebebasan terbesar. Wallahu a’lam.
