Dr Mohd Khafidz Soroni
AMALAN ziarah-menziarahi dan bersilaturahim dalam kalangan umat Islam Malaysia sempena sambutan hari raya adalah satu budaya yang mulia di samping selaras dengan syariat Islam. Amalan tersebut lebih bernilai apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas dan sifat kasih sayang kerana Allah SWT. Justeru, tiada apa-apa kepentingan duniawi yang diharapkan melainkan semata-mata kerana-Nya.
Walaupun amalan menziarahi saudara-mara, jiran dan sahabat handai sempena sambutan hari raya ini boleh jadi dibuat setahun sekali, namun amalan tersebut mampu mengeratkan hubungan persaudaraan serta kasih sayang dalam kalangan umat Islam. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Ziarahlah kamu secara berkala, nescaya akan menambahkan kasih sayang.’” (Riwayat at-Tabarani. Hadis hasan)
Menjadi satu kerugian jika peluang ini dibiarkan kerana belum tentu kita akan pergi menziarahi mereka pada masa lain tanpa sebarang munasabah yang sesuai. Dikhuatiri lama-kelamaan apabila sudah bertahun begitu rasa ingin berziarah akan menjadi pudar dan hubungan mula menjadi longgar. Ini realiti yang berlaku terhadap segelintir masyarakat kita.
Akhirnya, apabila terjadi kesusahan atau kematian tiada yang datang membantu. Amat menyedihkan bagi yang hidup bersendirian, ketika berlaku kematian, jiran hanya mengetahuinya setelah beberapa hari disebabkan bau.
Maka, buangkanlah rasa ego, tersisih, dendam dan seumpamanya. Perkenalkanlah anak dengan saudara-mara supaya mereka mengenal kaum kerabat mereka. Tidaklah nanti pada kemudian hari mereka menyangka bahawa mereka hanya sebatang kara tiada saudara-mara.
Jangan sampai hubungan dengan ibu bapa pun terputus. Dengan adik- beradik pula berkelahi semata-mata kerana dunia. Ingatlah sabda Nabi SAW: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, hidupkanlah amalan berziarah. Malah, dalam hadis amalan ini dijanjikan dengan kelebihan yang cukup besar. Ia termasuk antara amalan yang mudah, tetapi dijanjikan dengan ganjaran pahala yang amat banyak.
Antara kelebihannya:
Pertama, berziarah kerana Allah SWT dapat menarik kasih sayang Allah kepada orang yang berziarah. Daripada Muaz bin Jabal RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah SWT berfirman: ‘Wajiblah kasih sayang-Ku bagi orang yang saling berkasih sayang kerana-Ku, bagi orang yang duduk dalam majlis kerana-Ku, bagi orang yang saling berziarah kerana-Ku dan bagi orang yang saling membantu kerana-Ku.”‘ (Riwayat Malik. Hadis sahih)
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW menceritakan: “Suatu ketika ada seorang lelaki yang hendak menziarahi seorang saudaranya di sebuah kampung lain. Lalu, Allah pun mengutuskan satu malaikat bagi menemui lelaki itu di tengah perjalanannya ke kampung yang dituju. Maka, ketika malaikat tersebut menemuinya dia pun bertanya: “Ke mana kamu hendak pergi?” Lelaki itu menjawab: “Saya nak menziarahi saudara saya yang berada di kampung ini.” Malaikat itu bertanya lagi: “Adakah kamu mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan dengannya?’ Lelaki itu menjawab: “Tidak ada, hanya saya mengasihinya kerana Allah.” Lalu, malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mengasihimu sebagaimana kamu mengasihinya kerana-Nya’” (Riwayat Muslim)
Kedua, berziarah kerana Allah SWT dapat menjadi sebab masuk ke dalam syurga. Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa yang melawati orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka akan ada penyeru yang menyeru: ‘Semoga kamu beruntung dan beruntunglah perjalananmu serta kamu memperoleh sebuah tempat di dalam syurga.’” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, Hasan gharib)
Ketiga, orang yang berziarah dengan tujuan menyambung silaturahim akan diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya. Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat, terdapat kelebihan khusus bagi orang yang menziarahi orang sakit dan juga mungkin kebetulan ada dalam rumah yang diziarahi. Daripada Ali bin Abi Talib RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidaklah seorang Muslim itu melawat seorang Muslim lain yang sakit pada waktu pagi melainkan 70,000 malaikat akan berselawat (mendoakan kerahmatan) ke atasnya sehingga waktu petang dan jika dia melawatnya pada waktu petang pula melainkan 70,000 malaikat akan berselawat (mendoakan kerahmatan) ke atasnya sehingga waktu pagi. Dia juga akan beroleh sebuah kebun buah-buahan di dalam syurga.” (Riwayat at-Tirmizi, Hasan gharib)
Demikianlah betapa besarnya ganjaran amalan berziarah. Maka, sangat rugilah orang yang mengabaikannya dan membiarkannya berlalu begitu sahaja.