Zahir solidariti mendepani isu Gaza & Masjid Al-Aqsa

Dr Izham Hakimi Redzan

 

Kita digemparkan baru-baru ini bagaimana kejam rejim Zionis pengebom masyarakat Islam di Semananjung Gaza ketika masyarakat Islam masih lagi dalam musim perayaan Aidilfitri. Ini menunjukkan bagaimana kekejaman rejim ini dan sikap tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan oleh penjajah berkenaan. Walaupun telah termeterai gencatan senjata di antara Hamas dan Israel, akan tetapi sikap memungkiri janji dan menumpahkan darah adalah sikap bangsa Yahudi yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: “Maka Kami laknatkan mereka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka pula membunuh nabi- nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar.”  (Surah an-Nisa’: 155)

Apa yang dilakukan oleh penjajah ini sebuah genosid yang dirancang oleh Israel beselindung dengan alasan pembebasan tawanan Israel. Bilangan  syahid  daripada penduduk Gaza melibihi daripada 50,000 nyawa adalah lebih banyak daripada bilangan tawanan. Bahkan nyawa yang terkorban majoritinya melibatkan kanak-kanak, golongan wanita dan orang awam.  Nabi SAW bersabda:  “Janganlah kamu membunuh orang tua yang sangat tua, jangan pula membunuh wanita, dan juga bayi (anak kecil). Jangan kamu merosakkan bangunan yang dimakmurkan, dan jangan menebang pokok melainkan jika ada manfaat padanya.”  (HR al-Baihaqi)

 

Mayat-mayat yang hancur berserakan dan anggota badan yang terputus bertaburan di bawah runtuhan menjadi saksi terhadap kebuasan penjajahan dan jenayah pembunuhan yang dirancang. Penjajah melaksanakan pembantaian mengerikan ini di hadapan mata dunia sedangkan umat Islam membisu, hanya memerhati pembunuhan seolah-olah darah rakyat Gaza hanyalah berita yang disiarkan dalam siaran berita sahaja. Ingatlah saudara Islam sesungguhnya harga diri saudara kita yang beragama Islam lebih mulia daripada kehormatan Kaabah. Ibnu ‘Umar pernah berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW bertawaf di Kaabah sambil bersabda: ‘Alangkah baiknya engkau (wahai Kaabah) dan alangkah harum baumu! Alangkah agungnya engkau dan alangkah besarnya kehormatanmu! Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kehormatan seorang Mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada kehormatanmu iaitu hartanya dan darahnya (nyawanya). ” (HR Ibnu Majah)

Kerakusan golongan Zionis menghancurkan bumi Gaza bukan sahaja manusia yang tidak berdosa, bahkan sehinggakan perkara yang tidak hidup pun dihancurkan juga. Sikap biadap ini akan menjadikan batu pada akhir zaman akan bercakap untuk membunuh golongan yahudi ini sepertimana sabda Nabi SAW: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah kamu memerangi orang-orang Yahudi, sehingga batu yang di belakangnya ada orang Yahudi akan berkata: ‘Wahai Muslim, ini ada seorang Yahudi di belakangku, maka bunuhlah dia.’” ( HR al-Bukhari dan Muslim)

Masyarakat Islam perlu sedar bahawa isu Gaza dan Masjid al-Aqsa bukanlah isu khusus bagi bangsa Arab sahaja, bahkan isu ini adalah isu semua masyarakat Islam. Masjid al-Aqsa adalah tempat perjalanan Israk Nabi SAW dan kawasan sekitarnya adalah kawasan diberkati Allah SWT. Ini berdasarkan firmanAllah SWT: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya.” (Surah al-Isra’: 1)

Dalam saat yang genting ini, masyarakat Islam sedunia daripada semua lapisan perlu bersatu padu dan berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap saudara-saudara seagama kita di Gaza serta berusaha sedaya upaya yang mungkin mengkritik dan menghentikan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis sama ada berjihad dengan senjata ataupun harta ataupun lisan. Dalam suasana hari raya Aidilfitri ini, jika difikirkan bagaimana mungkin sambutan kita di bulan Syawal menjadi manis sedangkan sahabat-sahabat kita di sana dibunuh, kebuluran, dikepung dan dilakukan seperti haiwan. Nabi SAW bersabda:  “Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam kasih sayang mereka, belas kasihan mereka, dan saling berlembut antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasakannya dengan berjaga malam (tidak tenang) dan demam.” ( HR al-Bukhari dan Muslim)

 

 

Bantuan kepada Masjid al-Aqsa adalah perkara yang digalakkan di dalam syariat Islam. Apatah lagi dalam situasi yang dihadapi oleh masyarakat Gaza sekarang ini. Maka kita perlu untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan, perubatan, makanan dan sebagainya. Berkata Maimunah isteri Nabi SAW:  “Sesungguhnya aku telah bernazar bahawa jika Allah memberi kemenangan kepadamu (wahai Rasulullah) ke atas Makkah, aku akan menunaikan solat di Baitul Maqdis. Maka Rasulullah SAW berkata: ‘Engkau tidak akan mampu melakukannya. Kaum Rom akan menghalang antara engkau dan tempat itu!’ Maimunah berkata: ‘Aku akan datang dengan pengiring yang akan mengiringi dan melindungiku pergi dan balik’. Baginda menjawab: ‘Engkau tetap tidak akan mampu melakukannya! Tetapi, hantarlah minyak untuk dinyalakan (dalam pelita) di sana maka seolah-olah engkau telah sampai ke sana.’”  (HR Ahmad)

Ramai orang menyangka bahawa penindasan yang berlaku pada masyarakat di Gaza kerana kekuatan golongan kafir dan pemilikan mereka terhadap senjata yang paling hebat dan canggih. Namun, perkara ini bukanlah sebab utama. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada sebab. Adapun sebab utama yang lebih besar adalah seperti yang diberitahu Nabi Muhammad SAW: “Aku meminta kepada Tuhanku tiga perkara, maka Dia mengabulkan dua daripadanya dan menolak satu. Aku meminta kepada Tuhanku agar tidak membinasakan umatku dengan tahun kelaparan, maka Dia mengabulkannya. Aku meminta kepada-Nya agar tidak membinasakan umatku dengan tenggelam, maka Dia mengabulkannya. Aku meminta kepada-Nya agar tidak menjadikan perbalahan (permusuhan) sesama mereka maka Dia tidak memberikannya kepadaku.” ( HR Muslim)

Jadi, sebab utama kepada pembinasaan penduduk Gaza adalah perpecahan dalam akidah dan politik dalam kalangan puak-puak umat Islam. Inilah yang menyebabkan kebanyakan pemerintah negara-negara Arab dan Islam berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai ini kerana mereka melihat mangsa-mangsa tersebut berbeza dari segi akidah, pandangan politik dan wala’ (kesetiaan).

Umat Islam pada zaman ini memerlukan kesepaduan dan perpaduan dalam mendepani isu-isu yang didepani. Musuh-musuh Islam benar-benar mengetahui bahawa perpaduan umat Islam adalah suatu lambang kemenangan. Disebabkan itu, perkara yang dapat melemahkan umat Islam dengan menggunakan kaedah ‘pecah dan perintah’, seterusnya diberikan dan dihidangkan ke atas umat Islam perkara berunsurkan kebendaan sehinggalah kita takut kepada mati, sehinggalah musuh Islam tidak akan takut dan gerun kepada umat Islam. Ini adalah seperti yang dikhabarkan oleh Nabi SAW: “Akan tiba masanya di mana bangsa-bangsa kafir akan mengerumuni kamu sebagaimana orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka. Lalu seorang sahabat bertanya: ‘Adakah kerana bilangan kita sedikit pada waktu itu, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu seperti buih di atas arus sungai. Dan Allah akan mencabut rasa takut (gerun) terhadap kamu daridada musuh-musuh kamu dan Dia akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn. Seorang sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah wahn‘ itu? Baginda menjawab: ‘Cinta kepada dunia dan takut akan kematian.’” ( HR Abu Dawud)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *