Datuk Dr Mohd Sukki Othman
PARA ulama berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kitab tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin adalah makhluk Allah yang diberi tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia. Firman Allah dalam Surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Justeru, jin adalah seumpama manusia daripada sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah dalam Surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza”. Jin adalah makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.”
Iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dalam kalangan jin. Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa iblis adalah daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, lalu mereka sujud melainkan iblis, dia adalah berasal daripada golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti bagi orang yang zalim.”
Syaitan pula adalah golongan yang ingkar daripada kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 112 bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya, oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara serta tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan syaitan anak cucu iblis ini adalah golongan ‘mafia’ yang ingkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka, iblis dari syurga kerana keengganan untuk sujud kepada Nabi Adam.
Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 16-17 bermaksud: “Iblis berkata: ‘Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu Yang lurus, kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. Menurut Ibn Qayyim maksud ‘jalan yang lurus’ di dalam ayat berkenaan ialah Islam, jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.”
Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang.
Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya.”
Jelaslah posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan daripada segenap penjuru yang ada pada manusia.
Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.