Galakan memaafkan dalam Islam

NURULFATIHA MUAH

 

PERBUATAN memaafkan adalah salah satu sifat terpuji dalam Islam yang sering ditekankan oleh al-Quran dan hadis.

Pensyarah Kanan, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Maroom menjelaskan, walaupun seseorang yang telah dizalimi tidak diwajibkan untuk memaafkan pelaku, tetapi Islam sangat menggalakkan sifat pemaaf sebagai satu akhlak yang terpuji.

“Meskipun menjadi hak mutlak seorang untuk memberi maaf atau tidak, tetapi Islam sangat menekankan untuk menahan kemarahan dan memberi kemaafan kepada orang lain.

“Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan seorang Mukmin untuk memberi kemaafan berbanding mengharuskan untuk tidak memberi kemaafan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh ALLAH (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah asy-Syura: 40)

Melihat nas itu, ujar Dr Mohd Nasir, jelas ia menggambarkan bahawa memaafkan adalah perbuatan yang sangat dihargai oleh ALLAH SWT dan DIA memberikan ganjaran besar kepada pelakunya.

Artikel Berkaitan:

“Apatah lagi, Islam sememangnya agama yang rahmah dan berkasih sayang. Hal yang demikian kerana memberi kemaafan merupakan salah satu akhlak terpuji seorang yang bertakwa,” tuturnya.

Ciri orang bertakwa

Seperkara lagi, ahli akademik itu mengingatkan, sifat pemaaf merupakan antara ciri-ciri orang yang bertakwa sepertimana yang disebut dalam ayat ke-133 dan 134 surah Ali ‘Imran.

“Walaupun ia sukar untuk dilaksanakan, tetapi ia merupakan kayu ukur tahap ketakwaan seseorang kepada ALLAH SWT.

 WALAUPUN seseorang yang telah dizalimi tidak diwajibkan untuk memaafkan pelaku, tetapi Islam sangat menggalakkan sifat pemaaf sebagai satu akhlak yang terpuji. -Foto: 123RF

WALAUPUN seseorang yang telah dizalimi tidak diwajibkan untuk memaafkan pelaku, tetapi Islam sangat menggalakkan sifat pemaaf sebagai satu akhlak yang terpuji. -Foto: 123RF

“Bahkan, seseorang dianggap benar-benar telah mencapai darjat ketakwaan dan dijanjikan syurga seluas langit dan bumi apabila dirinya dapat mengamalkan ketiga-tiga ciri sepertimana disebut pada ayat itu iaitu memaafkan kesalahan orang, menahan kemarahan dan mendermakan hartanya pada masa senang serta susah,” katanya.

Beliau kemudian menceritakan sikap Rasulullah SAW yang menjadi contoh terbaik dalam memaafkan orang lain dan mengubah keadaan.

Terdapat banyak kisah yang menggambarkan kemaafan Baginda terhadap musuh-musuh yang pernah menzalimi atau menyakitinya.

Salah satu contoh yang menarik adalah kisah Habbar bin Aswad, seorang penentang Islam yang kejam. Pada suatu ketika, Habbar telah menyebabkan Zainab RA, puteri Rasulullah, terjatuh dari unta sehingga mengalami keguguran.

“Bagaimanapun, pada hari pembukaan Kota Makkah, Habbar yang sebelum ini terlibat dalam kekejaman terhadap umat Islam, telah memohon maaf kepada Rasulullah SAW dan Baginda telah memaafkannya, lalu beliau memeluk Islam,” katanya.

Apabila kita memaafkan kesilapan orang, jelas Dr Mohd Nasir, ini bermaksud diri telah berjaya membuang rasa marah, benci dan dendam terhadap individu tersebut.

MEMAAFKAN adalah perbuatan yang sangat dihargai oleh ALLAH SWT dan pelakunya dijanjikan dengan ganjaran besar oleh-NYA. -Foto: 123RF

MEMAAFKAN adalah perbuatan yang sangat dihargai oleh ALLAH SWT dan pelakunya dijanjikan dengan ganjaran besar oleh-NYA. -Foto: 123RF

Hal itu mengingatkan masyarakat bahawa dengan memaafkan, kita bukan hanya membebaskan hati daripada perasaan negatif, tetapi juga menjaga hubungan yang baik antara sesama manusia.

Namun, dalam kes-kes tertentu seperti fitnah atau pengkhianatan, pensyarah itu turut menekankan bahawa seseorang berhak untuk menuntut keadilan.

“Islam memberi hak kepada seseorang yang difitnah atau dikhianati untuk menuntut keadilan bagi dirinya sendiri atau ahli keluarga,” ungkapnya sambil menitipkan pesan agar kita meminta maaf seikhlas hati dan kembalikan hak yang pernah diambil serta memberi kemaafan dengan setulus jiwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *