Doa dengan hati yang tunduk

Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman

 

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Datuk. Saya ada kekeliruan berhubung dengan adab atau kaedah berdoa. Saya sering melihat kandungan di media sosial tentang kaedah berdoa ‘tidak boleh’ menggunakan ayat seperti memberi arahan tetapi mesti berbentuk memohon. Adakah benar keadaan itu? Kedua, bolehkah berdoa tanpa mengangkat tangan atau mengangkat tangan itu sebahagian daripada adab berdoa?

JAWAPAN

Wa’alaikumussalam warahmatullah. Terima kasih kepada saudara yang bertanya.

Pertama sekali, perlu difahami bahawa doa adalah lambang kehambaan seorang insan di hadapan Tuhanya. Doa bukan sekadar permintaan, bahkan ia adalah ibadah yang menunjukkan kita ini makhluk yang lemah, sentiasa berhajat dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Doa adalah salah satu ibadah agung yang menjadi penghubung seorang hamba dengan Tuhannya. Dalam doa terkandung pengakuan kelemahan seorang insan, pengharapan yang mendalam, serta pengabdian total kepada Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Doa itu adalah ibadah.” (Riwayat al-Tirmizī )

Oleh itu, adab berdoa mesti dijaga, kerana ia mencerminkan kedudukan kita sebagai hamba dan kedudukan Allah sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa.

Namun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat:

(a) Apakah bentuk bahasa doa yang benar, adakah boleh menggunakan lafaz seakan-akan memberi arahan kepada Allah?

(b) Adakah berdoa mesti mengangkat tangan atau boleh dilakukan tanpa mengangkat tangan?

1. Adab Berdoa: Permohonan atau arahan?

Doa pada hakikatnya ialah ṭalab al-mas’alah bi al-khudu’ wa al-dhillah (permintaan dengan penuh ketundukan dan kehinaan). Justeru, doa bukanlah perintah kepada Allah kerana Allah Maha Berkuasa dan Maha Kaya daripada makhluk-Nya. Doa adalah permintaan dengan penuh kerendahan hati, bukan arahan kepada Allah.

Firman Allah SWT: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untuk kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadah kepada-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina.’” (Surah Ghafir: 60)

Ayat ini menunjukkan doa adalah ibadah dan sifat ibadah ialah ketundukan, bukan perintah. Tetapi mengapa banyak doa dalam al-Quran dan hadis berbentuk kata perintah (fi’il amar) seperti: “Rabbana ātinā fi al-dunyā ḥasanah…” (Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan di akhirat…)

Ihdinā al-ṣirāṭ al-mustaqīm” (Tunjukkanlah kami jalan yang lurus)

Pada zahirnya lafaz-lafaz ini seakan-akan memberi arahan kepada Allah. Hakikatnya, menurut ulama balaghah, ia hanyalah gaya bahasa. Dalam istilah balaghah, ia dinamakan saghah du’ā’ bil-amar li al-tadarru’ – kata perintah yang digunakan untuk menyatakan permohonan dengan penuh kerendahan, bukan arahan.

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Adzkār: “Doa itu tidak keluar daripada maksud ibadah dan tadarru’, walaupun lafaznya berupa amar (perintah).”

Ibn Kathir pula menjelaskan dalam tafsirnya: “Doa seorang Mukmin itu walaupun dengan lafaz amar (perintah), ia bukan perintah kepada Allah, tetapi cara menyatakan hajat dengan penuh pengharapan.”

Maka jelaslah, doa dengan lafaz amar bukan bermaksud kita memerintah Allah, tetapi ia adalah bahasa doa yang diiktiraf syarak. Yang salah ialah apabila seseorang berdoa dengan sifat sombong dan mendesak seolah-olah Allah wajib memenuhi kehendaknya. Ini menyalahi roh doa, bahkan termasuk dalam bentuk isti’jāl (tergesa-gesa) yang ditegah oleh Nabi SAW. Nabi SAW mengingatkan: “Doa seseorang akan diperkenankan selagi ia tidak tergesa-gesa dengan berkata: ‘Aku telah berdoa, tetapi belum diperkenankan.’” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Allah SWT berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan dengan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’rāf: 55)

Menurut Imam al-Qurtubī dalam Tafsīr al-Jāmi’ li Ahkām al-Qur’ān, antara maksud ‘melampaui batas dalam doa’ ialah meminta sesuatu dengan cara yang tidak wajar, menggunakan lafaz sombong atau seolah-olah mengarah Allah melakukan sesuatu.

Jadi kesimpulannya ialah doa mestilah dengan hati yang tunduk, bukan arahan kepada Allah. Lafaz amar (perintah) dalam doa hanyalah gaya bahasa untuk menyatakan permohonan. Yang salah ialah doa dengan sifat takabbur atau seakan mendesak Allah.

2. Isu doa tanpa mengangkat tangan

Mengangkat tangan ketika berdoa adalah sunah dan adab yang sangat digalakkan, berdasarkan banyak hadis sahih. Antaranya sabda Nabi: “Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Pemalu lagi Maha Pemurah. Dia malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangannya kepada-Nya (berdoa), lalu Dia menolaknya dalam keadaan kosong.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizī )

Syeikh ‘Ubaidullah al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Pada hadis ini terdapatnya anjuran untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa dan kedua tangan tersebut dirapatkan. (Rujuk Mir’aat al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih)

Imam al-Nawawī dalam al-Adzkār menegaskan: “Mengangkat tangan adalah termasuk adab doa yang disepakati para ulama.”

Dalam hadis lain, Ibn Abbas RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW berdoa istisqa’ (minta hujan), lalu Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga tampak putih kedua ketiaknya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Imam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadis ini menukilkan pendapat yang menyebut: “Mengangkat kedua tangan semasa doa istisqa’ dan selainnya adalah mustahab (dituntut). Ini kerana ia zahir sikap rendah diri dan kehinaan serta menunduk diri kepada Allah SWT.”

Ini membuktikan bahawa angkat tangan adalah adab dan sunnah doa. Ia melambangkan kehinaan hamba yang mengharap belas kasih Tuhannya.

Walaupun begitu, para ulama menjelaskan tidak semua doa disyariatkan dengan angkat tangan. Antaranya adalah doa istiftah atau iftitah yang dibaca oleh seseorang itu pada awal solat. Demikian juga doa yang terdapat di dalam bacaan surah al-Fatihah pada ayat yang keenam. Demikian juga doa-doa yang dibaca ketika sujud. Kesemuanya ini tidak dianjurkan untuk seseorang yang berdoa itu mengangkat tangan padanya.

Ada juga doa yang tidak terdapat anjuran mengangkat tangan dan tidak pula dilarang untuk mengangkatnya. Ia merujuk kepada doa yang tidak disebutkan sama ada baginda mengangkat tangan atau tidak mengangkat tangan. Contohnya ialah doa sebelum tidur. Berdoa sebelum tidur adalah dituntut di sisi syarak dan sabit dari perbuatan baginda SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata: Nabi SAW apabila menuju ke katil (untuk tidur) baginda membaca: “Ya Allah dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.” (Riwayat Al-Bukhari)

Meskipun begitu, kesemua kategori doa ini secara asasnya digalakkan untuk seseorang yang membacanya untuk mengangkat tangan. Hal Ini kerana mengangkat tangan adalah zahir kerendahan diri dan jiwa seorang hamba kepada Allah SWT. Demikian juga ia termasuk antara sebab kemustajaban doa seseorang.

Mengapa Islam menganjurkan angkat tangan ketika berdoa? Antara hikmahnya ialah:

  1. Ia menzahirkan pengharapan yang tinggi

2. Melambangkan seorang hamba membuka tangannya untuk menerima pemberian.

3. Mengikuti sunah Nabi SAW yang selalu berdoa dengan angkat tangan.

Namun begitu, jika seseorang berdoa tanpa mengangkat tangan sama ada kerana keadaan tidak sesuai atau kerana terlupa, doanya tetap sah dan diterima. Yang lebih utama ialah keikhlasan hati dan kesungguhan doa itu sendiri.

Setiap Muslim diajar agar berdoa dengan hati yang ikhlas, penuh khusyuk dan disertai dengan keyakinan bahawa Allah SWT Maha Mendengar serta Maha Pemurah dalam mengabulkan doa hamba-Nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *