Mohd Rizal Azman Rifin
SESUNGGUHNYA, bagi mereka yang berjaya menerima surat tawaran untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima, ibadah haji, ia adalah sesuatu termahal yang sukar ditolak.
Manakala bagi yang masih belum berjaya, tentunya tidak akan berputus asa, sebaliknya terus menerus bermunajat supaya niat dan tekad akan kesampaian jua.
Saya sangat yakin dan sudahpun lalui sendiri ketika menunaikan umrah dulu bahawa sesuatu rukun umrah mahupun haji apabila dilakukan dengan hati bersarang dengan ibrah sirah akan menimbulkan kesyahduan yang tidak terperi.
Jiwa terasa sangat kerdil, iman terasa betapa nipisnya berbanding dengan mereka yang terdahulu yang penuh tabah menempuh liku-liku perjuangan.
Gambaran kisah/sirah mereka bukan untuk dijadikan bahan bacaan semata-mata, tetapi bagi yang sedang mahupun yang bakal berangkat ke Tanah Suci, maka sangat moleknya, penghayatan sirah mereka dibawa bersama dalam ingatan.
Ini kerana setiap inci bumi Makkah dan Madinah ada sirahnya yang agung.
Kenangan terabadi padu dalam ingatan ketika menunaikan umrah hujung tahun lalu ialah ketika melakukan saie.
Kalau sebelum mengunjakkan kaki di Tanah Suci nama dua bukit yang pernah merakam sejarah silam berkenaan Siti Hajar iaitu ibu Nabi Ismail sentiasa diketahui melalui bahan bacaan sahaja.
Namun, sebaik selesai sahaja melakukan tawaf berkeliling tujuh pusingan di sisi Kaabah, saya bersama ahli keluarga dan ahli rombongan umrah yang lain dibawa untuk melakukan rukun umrah yang seterusnya iaitu saie.
Ibadah saie, juga dilakukan sebanyak tujuh pusingan antara Bukir Safa dan Marwah yang jaraknya sekitar 420 meter itu meninggalkan impak mendalam apabila kisah silam yang berlaku ke atas isteri kesayangan Nabi Ibrahim, Siti Hajar bersama anak tercintanya, Nabi Ismail seolah-olah menerawang dalam fikiran.
Lantas sebelum saya memulakan saie secara berjalan cepat, ingatan terbawa-bawa kepada satu firman Allah yang memperkatakan hal saie itu.
Ayat Allah itu terakam dalam Surah al-Baqarah ayat 158 yang bermaksud, “Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwah itu adalah daripada syiar-syiar Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan haji atau mengerjakan umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada keduanya dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui.”
Ayat Allah itu nyata menyuntik satu rasa tersendiri dalam menaikkan semangat untuk menggagahkan diri memulakan saie.
Apatah lagi ketika asyik melayan imbauan kisah Siti Hajar yang meninggalkan anaknya yang masih kecil di sisi Kaabah demi mencari air minuman buat diri dan anaknya.
Kisah terbabit memberikan gambaran betapa kuat kasih sayang seorang ibu terhadap si anak.
Kaki saya terus menghayun perlahan menuju Bukit Safa yang menjadi tempat permulaan ibadah saie, sambil kisah silam yang penuh bersejarah itu masih ‘menakluki’ fikiran.
Lalu saya bayangkan suasana perbukitan Bukit Safa dan Marwah yang tiada sebarang tumbuhan dan yang ada hanya batu-batu gersang yang tajam.
Betapa gigih dan cekal Siti Hajar dalam mengkudratkan diri dengan satu niat yang murni untuk mendapatkan sumber air.
Terimbau juga bagaimana seorang wanita terpaksa berulang-alik dari bukit Safa ke Marwah dan meneruskannya lagi sebanyak tujuh pusingan sebelum ditakdirkan Allah sumber air itu berada di kawasan tapak kaki anaknya sendiri.
Kisah benar yang terakam dalam lipatan sejarah mengajar kita supaya gigih berusaha tanpa berputus asa dengan rahmat Allah.
Allah membenarkan hamba-Nya supaya berusaha sendiri terlebih dahulu dengan penuh komited tanpa mengira penat lelah sebelum dapat mengecapi nikmat-Nya.
Jelas bahawa Allah meminta hamba-Nya tidak sesekali bersikap putus asa dalam kehidupan.
Sesukar bagaimanapun kehidupan, pasti ada jalan keluar yang menanti, asalkan kita terus berdoa sepenuh hati kepada-Nya dengan iringan usaha secara bertekun gigih.
Hal demikian jelas terpapar dalam Surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud, “Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hamba-Ku Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Berbalik kita kepada kisah Siti Hajar yang berlari-lari antara Bukit Safa dan Marwah untuk mencari sumber air tadi. Sesungguhnya kekuatan semangat untuk melangsungkan kehidupan secara bermaruah dengan berusaha sendiri tanpa mengaku kalah kepada keadaan semasa yang tertimpa pada diri menjadi kapsul terbaik untuk mendepani apa jua cabaran hidup.
Kisah itu turut mengajar kita bahawa seseorang ibu itu sanggup bergadai nyawa dan berbuat apa sahaja yang termampu semata-mata mahu melihat keadaan anaknya terjaga dan terpelihara dengan baik.
Hal itu sekali gus memercikkan rasa insaf yang cukup mendalam di hati ini bahawa ibu mahupun ayah sewajibnya kita hormati dan dijaga dengan sebaiknya.
Pengorbanan Siti Hajar itu adalah lambang ikonik seorang ibu sepanjang zaman yang seharusnya kita jadikan teladan hidup.
Berjalan cepat dan apabila sampai sahaja di kawasan bertanda lampu hijau yang mengisyaratkan jemaah umrah untuk berlari-lari anak bukan perbuatan yang sia-sia tanpa makna.
Ia meninggalkan impak tersndiri bagi mereka yang mahu mengambil iktibarnya.
Sesekali, larian saya sedikit terganggu apabila puteri bongsu saya, Anis Fariha merengek-rengek lalu membuatkan saya terpaksa menghentikan gerakan kaki buat seketika.
Mungkin anak saya itu rimas dengan suasana yang padat dengan jemaah.
Kanak-kanak biasalah dan saya terima situasi sebagai cabaran buat seorang ayah yang membawa anak kecil bersama untuk mengerjakan umrah.
Manakala tiga lagi anak saya, Ahmad Fauwaz, Ammar Fayyadh dan Amna Fahimah begitu seronok mengikuti perjalanan saie dengan ceria yang jelas terpapar di wajah.
Yalah, mereka sudah besar dan mengerti juga sedikit sebanyak berkenaan aturan dan susun atur sesuatu ibadah.
Cuma, Ammar Fayyadh sahaja mengalami lecihan di tapak kakinya, tetapi dia cekal menamatkan pusingan saie dengan jaya.
Saya amat bersyukur kepada Allah, meskipun dalam serba kepayahan bersama ahli keluarga, tetapi setiap amalan rukun umrah berjaya juga dilakukan dengan sebaiknya.
Sesungguhnya, hati ini sering berkata, umrah apatah lagi haji bukan sekadar ibadah, tetapi memberi peluang untuk menghayati sirah silam yang pastinya menjadikan jiwa kita semakin khusyuk penuh insaf.
Tahun ini giliran sahabat kita, keluarga kita yang dipanggil Allah untuk mengerjakan haji, namun teruskan berdoa supaya di tahun mendatang giliran kita pula dijemput Allah sebagai Tetamu-Nya.