Berusaha hidupkan ibadat malam

Mohd Khairulazman Abu Bakar

 

Di saat kebanyakan manusia lena dibuai mimpi malam, terdapat segolongan insan yang bangkit dari tempat tidur, mengangkat tangan dengan penuh pengharapan, bermunajat kepada Tuhan Yang Maha Mendengar. Mereka ini bukan insan biasa, mereka adalah golongan yang memahami nilai dan peluang besar Allah sediakan pada waktu malam khususnya pada sepertiga malam.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

“Tuhan kita Tabaraka wa Taala turun setiap malam ke langit dunia ketika tinggal sepertiga malam yang akhir. Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya dan sesiapa yang memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku ampunkan dia.’” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini antara bukti paling jelas kemuliaan waktu malam, khususnya pada sepertiga terakhir. Turunnya Allah SWT ke langit dunia bukanlah seperti turunnya makhluk, tetapi menunjukkan betapa Allah sangat hampir kepada hamba-Nya ketika itu, mendengar setiap doa, tangisan dan permohonan mereka.

Sepertiga malam: Waktu keemasan untuk bermunajat

Mengikut pembahagian waktu malam, sepertiga malam yang terakhir biasanya bermula sekitar jam 3 pagi sehingga terbit fajar. Ia adalah waktu yang paling sunyi, paling tenang dan paling sesuai untuk berkomunikasi dengan Allah SWT tanpa gangguan dunia.

Pada waktu inilah peluang keemasan terbuka luas untuk kita mengadu, meminta dan mencurah segala isi hati kepada Allah.

Ia adalah saat paling mustajab untuk berdoa dan bermohon. Ia ibarat waktu ‘eksklusif’ yang Allah buka untuk hamba-Nya yang benar-benar ingin dekat dengan-Nya.

Kenapa munajat pada waktu malam begitu istimewa?

Allah Maha Dekat dan Maha Mendengar seperti disebut dalam hadis qudsi tadi, Allah turun ke langit dunia, menunjukkan betapa hampirnya Dia dengan hambaNya. Allah sendiri ‘menawarkan’ untuk mengampunkan dosa, memperkenankan doa dan memberi apa yang diminta. Pada waktu lain, kita diminta berdoa, tetapi waktu ini, Allah SWT sendiri yang ‘memanggil’ kita untuk berdoa.

Ketika orang lain lena, kita bangkit solat, menangis dan berdoa. Itu menunjukkan kita melakukan ibadah bukan kerana ingin dilihat manusia, tetapi benar-benar kerana mencari reda Allah. Inilah antara tanda keikhlasan yang tinggi.

Antara waktu doa paling mustajab menurut banyak riwayat ialah sepertiga malam terakhir. Jika ada hajat, penyakit, kesulitan atau apa sahaja masalah, inilah masa terbaik untuk memohon kepada Allah dengan sepenuh jiwa.

Dinihari adalah waktu paling sesuai untuk muhasabah diri. Dalam kesunyian malam, jiwa menjadi lebih tenang. Ia waktu yang sangat sesuai untuk bermuhasabah, merenung dosa lalu, dan merancang perubahan hidup ke arah lebih baik. Air mata taubat yang mengalir pada waktu malam sangat berharga di sisi Allah.

Amalan munajat malam

Munajat bukan hanya bermaksud doa, tetapi satu bentuk komunikasi merangkumi ibadah sunat yang mendekatkan kita kepada Allah. Antaranya:

1. Qiyamullail (solat malam) – Solat sunat pada waktu malam terutama tahajud adalah satu amalan yang sangat dianjurkan. Ia menjadi amalan para nabi dan orang soleh. Allah SWT berfirman: “Dan pada sebahagian malam, bangunlah untuk bersolat tahajud sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra: 79)

2. Doa dan istighfar – Waktu malam adalah masa terbaik untuk berdoa dan memohon ampun. Seperti dalam hadis qudsi, Allah menantikan siapa yang memohon keampunan agar Dia mengampunkannya. Allah juga berfirman: “Dan pada waktu sahur mereka meminta ampun (kepada Allah).” (Surah az-Zariyat: 18)

3. Zikir dan tadabbur al-Quran – Membaca al-Quran pada waktu malam sangat memberi kesan kepada hati. Zikir yang ikhlas pada malam hari, walaupun hanya beberapa minit, mempunyai nilai besar di sisi Allah.

Sahabat dan ulama terdahulu sangat menghargai waktu malam. Mereka tidak tidur seperti kebanyakan manusia, sebaliknya memanfaatkannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

• Saidina Umar al-Khattab: Beliau sering menangis pada waktu malam dan berdoa: “Jika semua manusia dimasukkan ke syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu.”

• Hassan al-Basri: Apabila ditanya mengapa orang yang bermunajat pada waktu malam wajah mereka bercahaya, beliau menjawab: “Kerana mereka bersendirian bersama Allah, maka Allah pakaikan kepada mereka daripada cahaya-Nya.”

• Imam Syafii: Dikenali sebagai ulama besar, beliau juga tidak pernah meninggalkan qiyamullail dan sangat banyak berdoa pada waktu malam. Beliau berkata: “Doa pada waktu malam adalah senjata Mukmin.”

Bangun malam bukan sesuatu yang mudah. Tetapi seperti semua amalan, ia memerlukan latihan dan mujahadah.

Antara tip untuk memudahkan bangun malam ialah:

• Tidur awal – Kurangkan aktiviti yang melalaikan pada waktu malam. Tidur awal memudahkan bangun sebelum Subuh.

• Niat bangun untuk munajat – Letakkan niat yang kuat dalam hati. Niat yang ikhlas akan dibantu Allah.

• Pasang alarm atau minta bantuan ahli keluarga – Jangan malu untuk minta pasangan atau ibu bapa kejutkan.

• Kurangkan dosa pada waktu siang – Hati yang banyak melakukan dosa akan menjadi berat untuk bangun malam.

• Istiqamah walaupun sekejap – Mulakan dengan bangun 10 minit sahaja. Tidak perlu solat panjang, tetapi jadikan ia rutin. Lama-lama akan terasa kemanisannya.

• Usah sia-siakan peluang ini – Dalam hidup ini, tidak banyak ‘peluang emas’ yang datang. Dunia menawarkan pelbagai peluang, tetapi tidak semua memberi kebaikan yang kekal. Tetapi peluang bermunajat pada waktu malam adalah tawaran yang datang daripada Allah sendiri, bukan sekadar peluang, tetapi jemputan Yang Maha Pengasih.

Mengapa kita sanggup bangun awal untuk urusan kerja, mesyuarat, perjalanan atau untuk menonton bola sepak, tetapi enggan bangun untuk Allah, Tuhan yang memberi kita nyawa dan rezeki setiap hari?

Bukankah kita sering mengadu hidup tidak tenang, hati gelisah, rezeki sempit, dosa menimbun dan jiwa terasa kosong? Maka inilah masanya untuk kita kembali kepada Allah SWT saat Dia sedang ‘menunggu’ kita pada sepertiga malam.

Wahai saudaraku, rebutlah peluang ini. Jangan tangguh lagi. Walau hanya seminit, bangkitlah. Angkat tanganmu. Luahkan isi hatimu. Menangislah di hadapan Allah. Mohon keampunan dan petunjuk kerana siapa tahu, dalam satu malam itu, doa kita dimakbulkan, dosa kita diampunkan dan takdir hidup kita berubah selama-lamanya.

Maka bangkitlah… rebutlah peluang munajat pada waktu malam kerana mungkin esok kita sudah tiada lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *