Ahmad Fahmi Azalee
Pada zaman ledakan digital, mencari jawapan kepada apa-apa isu agama hanya di hujung jari. Taip sahaja kata kunci seperti ‘hukum inai lelaki’, ‘hukum sambut hari jadi’ atau ‘batal wuduk bila sentuh suami’, ribuan hasil carian segera terhidang.
Tetapi, budaya ini tidak selalunya membawa kepada kefahaman yang betul. Sebaliknya, ia menatijahkan satu fenomena berbahaya yang dikenali sebagai ‘Google Fatwa’, apabila masyarakat cenderung mengambil hukum agama secara mentah, tanpa bimbingan guru atau panduan yang sah.
Lebih membimbangkan, ada yang berani memberi hukum, berhujah panjang di media sosial atau lebih parah menyesatkan orang lain hanya bersandarkan petikan dalil yang dipetik secara serpihan.
Ilmu agama bukan sekadar petik dalil
Dalam disiplin Islam, memahami hukum bukan semata-mata dengan membaca ayat al-Quran atau satu dua hadis. Ia memerlukan asas ilmu yang kukuh, disiplin fiqh yang tersusun dan kaedah istinbat yang benar.
Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Majmū’ Syarh al-Muhadhdhab menegaskan: “Tidak halal bagi seseorang memberi fatwa dalam agama Allah kecuali dia mengetahui secara mendalam tentang al-Quran, tafsirannya, nasikh mansukh, hadis, ilmu rijal, fiqh dan usulnya.”
Ini menunjukkan bahawa fatwa tidak boleh berdiri atas teks semata-mata tanpa memahami maqasid (tujuan syariah), kaedah fiqh dan konteks realiti masyarakat.
Apabila semua berasa jadi mufti
Fenomena ini membawa beberapa kesan negatif yang sangat ketara.
Pertama, kekeliruan hukum. Orang awam mudah terkeliru antara hukum yang qat’i (pasti) dengan hukum ijtihadi yang bersifat khilaf. Malah, isu cabang agama seperti aurat, inai, sambutan hari jadi atau amalan zikir pun menjadi punca perbalahan.
Kedua, perpecahan sosial dan fitnah agama. Muncul kelompok yang menyesatkan sesama sendiri, saling menuduh bidaah, sesat atau menyimpang, semata-mata kerana perbezaan pandangan yang sepatutnya diiktiraf dalam ruang ijtihad.
Ketiga, merendahkan fungsi institusi fatwa dan autoriti agama. Sebahagian masyarakat seolah-olah menganggap pandangan di media sosial lebih utama daripada keputusan rasmi yang sudah diperhalusi Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahli pakar.
Peranan institusi fatwa: Tonggak kestabilan agama
Di Malaysia, institusi fatwa bukan sekadar simbol, tetapi tiang seri kepada kestabilan agama dan keharmonian masyarakat. Setiap negeri mempunyai Jabatan Mufti Negeri yang berfungsi sebagai pihak berautoriti dalam urusan hukum-hakam Islam.
Mereka bertanggungjawab merumuskan, membincang dan mengeluarkan fatwa melalui mesyuarat rasmi Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dianggotai mufti, ulama, pakar syariah dan ahli akademik.
Fatwa yang diputuskan bukan bersifat individu, tetapi kolektif iaitu hasil daripada penelitian mendalam terhadap sumber syarak, realiti semasa, maqasid syariah dan maslahat masyarakat.
Lebih penting, fatwa yang diluluskan akan diwartakan dan mempunyai kuasa undang-undang dalam negeri terbabit, selari dengan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.
Sebagai contoh, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Kelantan dan negeri lain menyediakan portal rasmi yang menjadi rujukan masyarakat dalam isu hukum semasa.
Ini sumber yang sah, diiktiraf dan terjamin keabsahannya. Tetapi, masih ada yang memilih untuk bergantung pada potongan video TikTok berdurasi seminit atau poster berantai tanpa memeriksa kesahihan maklumat.
Sikap taat dan beradab kepada institusi fatwa dan ulama
Satu perkara yang perlu difahami oleh masyarakat ialah Jabatan Mufti dan institusi fatwa di Malaysia berdiri atas pegangan Ahli Sunah WalJamaah. Ini adalah pegangan rasmi negara, yang selari dengan Mazhab Syafii dalam fiqh dan Asyairah atau Maturidiyyah dalam akidah.
Oleh itu, menjadi kewajipan rakyat Muslim untuk:
1. Taat kepada keputusan fatwa yang diwartakan. Ini bukan semata-mata isu perbezaan pandangan, tetapi ia mempunyai implikasi perundangan syariah yang sah.
2. Beradab dan menjaga lidah dalam berinteraksi dengan ulama, mufti dan institusi agama. Mengherdik, memperlekeh atau menghina mereka adalah satu dosa besar yang boleh membawa kepada fitnah agama.
3. Menjauhi sikap biadab di media sosial, yang semakin menjadi barah dalam masyarakat. Menyebar kata-kata kesat terhadap mufti atau ulama bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah mengundang kemurkaan Allah.
4. Menginsafi bahawa urusan hukum agama bukan medan untuk populariti atau konten semata-mata. Ini adalah amanah besar yang diwarisi daripada ulama sejak zaman Rasulullah SAW.
Dalil tentang wajibnya berguru dan larangan berfatwa tanpa ilmu
Larangan memberi fatwa tanpa ilmu sudah jelas dinyatakan dalam banyak riwayat. Antaranya sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berkata tentang al-Quran dengan pandangannya sendiri tanpa ilmu, maka bersiaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Imam Ibn Sirin pula pernah berkata: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.” (Riwayat Muslim)
Kata-kata ini sangat tepat dengan situasi hari ini. Tanpa bimbingan guru, tanpa panduan yang sah, seseorang boleh terjerumus kepada kesesatan walaupun niat asalnya mahu memahami agama.
Disiplin ilmu dalam berfatwa
Dalam kerangka fiqh, berfatwa tidak boleh lari daripada beberapa disiplin penting:
1. Ilmu usul Ffiqh
Untuk memahami bagaimana sesuatu dalil digunakan atau dikeluarkan hukum.
2. Ilmu fiqh
Memahami perincian hukum secara menyeluruh.
3. Maqasid syariah
Memastikan hukum yang dikeluarkan mencapai tujuan syariat iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
4. Pertimbangan uruf dan maslahah
Keadaan masyarakat, adat setempat dan maslahat umum perlu diambil kira dalam menentukan hukum.
Semua ini tidak mungkin diperoleh hanya melalui carian Google atau tontonan video tanpa pengajian yang sistematik.
Penyelesaian: Kembali kepada jalan ilmu yang sah
Budaya mengambil agama secara serpihan perlu dihentikan. Masyarakat perlu kembali kepada disiplin ilmu yang sahih.
• Pertama, rajin merujuk portal rasmi Jabatan Mufti Negeri. Semua fatwa yang sah ada di situ.
• Kedua, menghadiri kuliah atau talaqqi bersama guru bertauliah. Belajar agama tidak sama seperti belajar resepi masakan di YouTube.
• Ketiga, menghormati institusi fatwa dan ulama. Hukum agama bukan bidang untuk sesiapa sahaja bercakap sesuka hati tanpa asas.
• Keempat, memahami perbezaan pandangan dalam ruang ijtihad. Tidak semua perbezaan membawa kepada kesesatan. Dalam banyak isu, perbezaan adalah rahmat selagi ia dalam kerangka ilmu yang benar.
Penutup
Agama adalah amanah. Mencari jawapan agama dengan cara yang salah akan membawa kepada kesesatan, bukan petunjuk. Maka, berhati-hatilah. Jangan biarkan budaya ‘Google Fatwa’ menenggelamkan fungsi ulama, memadam autoriti Jabatan Mufti atau memecahbelahkan umat.
Kembali kepada jalan ilmu, jalan sanad dan jalan yang dilimpahi keberkatan. Beradab dengan ulama, taati keputusan fatwa dan pelihara agama ini dengan penuh rasa tanggungjawab.