3 Fitnah sebelum kemunculan Dajal

Dr Mohd Khafidz Soroni

 

Sebelum kemunculan Dajal ada tiga fitnah besar yang akan berlaku. Daripada Abdullah bin Umar RA berkata: “Pernah kami duduk di sisi Rasulullah SAW, lalu baginda menyebutkan tentang pelbagai fitnah, malah menyebutkannya dengan banyak sehingga baginda menyebutkan mengenai fitnah al-ahlas (kain alas duduk). Seseorang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah itu fitnah al-ahlas?’ Baginda menjawab: ‘Ia adalah fitnah perpecahan dan perampasan. Kemudian muncul fitnah as-sarra’ (kesenangan) yang asapnya muncul daripada bawah dua telapak kaki seorang lelaki daripada ahli baitku, yang mendakwa dia adalah sebahagian daripadaku, padahal dia bukan sebahagian daripadaku. Sedangkan, wali-waliku adalah orang yang bertakwa. Kemudian, manusia akan bersepakat damai di atas seorang lelaki, ‘seumpama pangkal paha di atas tulang rusuk’. Kemudian, muncul fitnah ad-duhaima’ (yang hitam gelap) yang tidak membiarkan seorang pun daripada umat ini melainkan ia akan menamparnya dengan satu tamparan (yakni menimpanya). Apabila dikatakan ia telah berakhir, fitnah itu akan terus berlanjutan. Ketika itu seseorang akan menjadi Mukmin pada pagi hari dan menjadi kafir pula pada waktu petang hingga manusia terbahagi kepada dua khemah iaitu khemah iman yang tiada nifak padanya dan khemah nifak yang tiada iman padanya. Maka, jika hal itu berlaku, maka tunggulah kedatangan Dajal pada hari berkenaan ataupun hari esoknya’”. (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim dengan sanad sahih)

Ada tiga fitnah yang disebutkan dalam hadis di atas. Pertama, fitnah al-ahlas (kain alas duduk) yang Nabi SAW jelaskan sebagai fitnah perpecahan dan perampasan. Menurut Imam al-Khattabi, dinisbahkan fitnah kepada al-ahlas bagi menunjukkan keadaannya yang berterusan serta lama keberadaannya kerana kain alas duduk biasanya dihamparkan lalu kekal di tempatnya selagi tidak diangkat. Boleh jadi juga fitnah ini diumpamakan dengan kain alas duduk disebabkan warnanya yang hitam dan gelap. Menurut al-Habib Abu Bakr al-Adni dalam bukunya al-Usus wal Muntalaqat fi Tahlil wa Tafsil Ghawamidh Fiqh at-Tahawwulat, fitnah ini adalah merujuk kepada kebangkitan dan pakatan negara Eropah dalam memecah-belahkan serta membahagi-bahagikan Empayar Uthmaniyyah yang sudah lemah sesama mereka. Melalui pelbagai strategi dan konspirasi, semua kuasa penjajah Eropah ini berjaya mengkucar-kacirkan kesatuan dunia Arab dan Islam secara umumnya.

Kedua, fitnah as-sarra’ (kesenangan) yang bibit awalnya muncul daripada bawah dua telapak kaki seorang lelaki daripada ahli bait Nabi SAW. Ini bererti lelaki berkenaan memang diiktiraf sebagai keturunan baginda SAW, namun dakwaannya sebagai penyambung warisan Nabi SAW adalah tidak benar sama sekali disebabkan ketiadaan sifat takwa padanya. Menurut Imam al-Qari, dinisbahkan fitnah kepada as-sarra’ sama ada kerana punca berlakunya ialah perbuatan maksiat yang disebabkan limpahan kemewahan atau kerana ia menyenangkan hati pihak musuh. Menurut pandangan Syeikh Khalil Ahmad as-Saharanpuri dalam Bazl al-Majhud fi Hall Sunan Abi Dawud). Peluang ini diambil oleh pihak British, lalu menawarkan bantuan kepada beliau untuk menentang Kerajaan Uthmaniyyah. Selepas revolusi berjaya, beliau mengangkat dirinya sebagai Raja Hijaz. Kemudian beliau digantikan oleh anaknya, as-Syarif ‘Ali bin Husain. Namun, beliau telah dikalahkan oleh Ibnu Suud sehingga terpaksa menyerahkan kuasa pemerintahan kepadanya pada 1925. Kesemua pihak akhirnya bersepakat damai di atas pemerintahan Ibnu Suud hingga lahirnya Kerajaan Arab Saudi pada 1932. Frasa ‘seumpama pangkal paha di atas tulang rusuk’ adalah perumpamaan Arab yang menunjukkan perkara yang tidak tetap dan tidak stabil. Sedangkan, perumpamaan yang menunjukkan kesesuaian dan ketepatan ialah ‘seumpama tapak tangan pada lengan’.

Ketiga, fitnah ad-duhaima’ (yang hitam gelap) yang akan menimpa atau dirasai setiap orang daripada umat Islam. Ini terjadi setelah setiap negara umat Islam hanya mengurus negara masing-masing secara berasingan. Sebarang isu yang berlaku hanya menjadi isu nasional dan tidak lagi menjadi fokus dunia Islam sejagat. Paling ketara adalah pada isu Palestin yang tidak berkesudahan sehingga kini.

Apa yang digambarkan oleh Nabi SAW ini cukup signifikan dengan situasi yang berlaku masa kini. Fitnah yang berlaku terus berlanjutan seperti tiada noktahnya. Masyarakat Islam juga sudah mulai terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan beriman yang menjauhi sifat nifak dan golongan bersifat nifak yang tiada iman sehingga mereka boleh menjadi Mukmin pada pagi hari, tetapi menjadi kafir pula pada petangnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *