Memelihara pegangan agama bak menggenggam bara api

Datuk Dr Mohd Sukki Othman

 

Sabda Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Akan tiba suatu masa pada manusia, apabila orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidhi)

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mendatangkan kiasan terhadap suatu zaman yang sangat mencabar sehinggakan orang yang komited dalam melaksanakan ajaran agama terpaksa menghadapi kesusahan dan cabaran yang sangat hebat.

 

Mereka diumpamakan sebagai orang yang terpaksa menggenggam bara api. Sekiranya seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara agamanya, sudah tentu ia mudah terlucut dan terlepas daripada genggamannya.

Hal ini adalah disebabkan suasana persekitaran tidak membantu ke arah menunaikan kewajipan agama, sebaliknya keadaan persekitaran lebih mendorong untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang boleh meruntuhkan akidah serta keimanan kepada Allah.

Selain itu, ia juga bermaksud bahawa orang Islam berasa tersepit dalam melakukan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat sokongan dan dorongan.

Persekitaran pencemaran akidah

Realiti yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat?

Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di Nusantara ini semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.

Pencemaran akidah berlaku melalui ajaran atau amalan dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan berkenaan adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran serta amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan sunah serta bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah.

Pencemaran akidah ini berlaku dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsur animisme serta dinamisme dicampur aduk dengan doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.

Pengakuan menjadi nabi, rasul dan Imam Mahdi antara tindakan favourite dilakukan oleh mereka yang terjebak dalam pencemaran akidah.

Biasanya orang yang mudah terpengaruh dengan pencemaran akidah ini ialah golongan yang rapuh ilmunya. Mereka lebih selesa menjadi ‘pak turut’ daripada berusaha mencari ilmu sebenar yang berteraskan al-Quran dan sunah.

Natijahnya, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakwaan songsang itu. Apatah lagi, masyarakat kita biasanya akan mudah terpengaruh sekiranya ‘guru’ berkenaan boleh melakukan perkara luar biasa yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Lalu, mereka akan menganggap guru itu mendapat ‘karamah’, seterusnya menjadi wakil Tuhan di bumi dan dakwaan lain yang tidak berasas.

 

Dalam hal ini, Imam Syafii menyatakan bahawa, “Sekiranya engkau melihat ahli bidaah dapat terbang di atas udara sekalipun, maka janganlah engkau tertipu dengannya.”

Persekitaran pencemaran akhlak

Hari ini, fenomena pencemaran akhlak dan maksiat begitu berleluasa terutama dalam kalangan remaja dan belia. Kebanyakan pencemaran akhlak berlaku dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Bahkan, sesuatu yang semakin dapat diterima apabila seorang wanita bertudung berpelukan bersama boyfriend di taman bunga atau di atas motosikal dipecut laju atau di tempat hiburan seperti di konsert yang melalaikan.

Hal ini sudah menjadi fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana terutama di kota metropolitan. Lelaki Islam pula kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi dengan anting-anting yang berjuntaian atau leher dililit dengan rantai bergemerlapan, seluar sengaja dikoyakkan di lutut, kononnya mengikuti peredaran zaman. Itulah antara fenomena ‘canggih’ yang wujud dalam masyarakat moden yang ‘tidak ketinggalan zaman’ pada hari ini.

Ada remaja bertudung kepala hanya menurut fesyen bukan berasaskan tuntutan syarak berpeleseran dengan orang bukan mahram yang akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat!

Maksiat dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga pemuda yang waktu malamnya dihiasi hiburan semata-mata seolah-olah hidup ini tiada tujuan serta matlamat.

Ada pula yang mengucapkan ‘alhamdulillah’ ketika menerima sesuatu kejayaan dalam program maksiat seolah-olah tiada nilai perkataan tersebut!

Golongan yang tidak mahu terlibat dengan persekitaran maksiat seumpama ini dianggap kolot dan tidak moden. Akhirnya mereka itu disisihkan. Orang yang berpegang pada ajaran agama dan tidak mahu terlibat dalam persekitaran maksiat terpaksa mempunyai kesabaran kuat dalam menghadapi godaan maksiat yang begitu meruntun jiwa remaja.

Sedar ataupun tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita kini yang songsang itu sebenarnya menunjukkan betapa berjayanya musuh Islam untuk menghancurkan akhlak umat Islam melalui racun ‘serangan pemikiran’ yang sekian lama dirancang.

Allah SWT memperingatkan tentang perkara ini dalam Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu.”

Musuh Islam tidak pernah jemu melaksanakan tugas mereka. Serangan pemikiran yang dilancarkan kepada umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia sehingga umat Islam sudah tidak dapat membezakan di antara hak dan batil.

Mantapkan akidah

Akidah yang mantap penyelamat kepada seseorang dalam mempertahankan agamanya. Generasi kini sewajarnya dididik untuk kembali kepada pegangan akidah yang mantap demi mengembalikan generasi sahabat yang ditarbiah dengan kekuatan akidah menatijahkan kegemilangan Islam terpancar ke seluruh dunia. Tidak cukup bagi seseorang Muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah, tetapi pada masa sama masih tidak mengenali Allah! Sehubungan itu, didapati dalam masyarakat Islam kini mereka yang tidak sensitif apabila Islam dihina dan gejala murtad semakin berleluasa.

 

Mengapakah semua ini terjadi? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah berpunca daripada kerapuhan akidah yang melanda umat pada zaman kini!

Akidah adalah ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada Allah, rasul-Nya dan agama-Nya.

Akidah, tauhid dan iman akan merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia serta di akhirat. Orang yang mantap akidahnya tidak akan goyah walaupun badai dan taufan yang datang melanda. Mereka akan tetap mempertahankan agamanya walau dalam keadaan yang sukar seumpama menggenggam bara api yang panas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *